
MIRI: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak, Datuk Rosey Yunus, menggesa agar pasangan suami isteri memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pasangan masing-masing yang telah dilantik menjadi pemimpin di mana-mana peringkat.
Menurut beliau, peranan seorang pemimpin amat penting dalam memastikan pembangunan dan kemajuan komuniti dapat dicapai dengan lebih berkesan.
“Selama ini, kita melihat tugas dan tanggungjawab para pemimpin dijalankan dengan sangat baik.
“Namun begitu, kejayaan seseorang pemimpin juga bergantung kepada sokongan padu daripada pasangan mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Keluarga Persatuan Ketua Kaum Daerah Subis (PKKS) 2025 di salah sebuah hotel di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu menambah, tanggungjawab sebagai pemimpin bukan sahaja dinilai melalui hasil kerja, tetapi juga melalui contoh teladan yang ditunjukkan kepada masyarakat.
“Tugas dan tanggungjawab mereka akan sentiasa menjadi perhatian masyarakat.

“Oleh itu, sokongan moral dan emosi daripada pasangan amat penting untuk memastikan mereka dapat terus berkhidmat dengan penuh dedikasi,” ujar beliau.
Datuk Rosey turut menegaskan bahawa keharmonian dan saling memahami antara pasangan akan membantu memperkukuh semangat kepimpinan dan memberi impak positif kepada pembangunan komuniti setempat.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Sibuti Dato Lukanisman Awang Sauni, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Dr Ripin Lamat, Pemanca Dr Ali Mudin dan Pengerusi PKKS KK Amin Antin serta ketua-ketua kaum Daerah Subis.
Oleh Adum Liu