KUCHING: Ekonomi negeri Sarawak secara perlahan-lahan meningkat dan mula bergerak ke arah positif.
Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Datuk Naroden Majais berkata, keberanian Syarikat Hornbill Network Consortium Sdn Bhd dalam pembangunan hartanah hari ini membuktikan bahawa syarikat ini dapat menang dalam melawan impak negatif pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid -19 sejak Mac lalu.
“Walau bagaimanapun, ini menunjukkan dengan jelas bahawa ekonomi dalam negeri kita sedang meningkat dan mula bergerak dengan positif,” katanya.
Beliau berkata, walaupun syarikat ini nampak kecil dan sederhana tetapi bagi saya yang penting ialah jenis perniagaan yang dilakukan dan aktiviti yang dilaksanakan syarikat tersebut.
“Kedua, apa projek tersebut, nilai dan impak projek yang dibuat oleh syarikat ini kepada masyarakat sekelilingnya ataupun apakah impak yang projek mereka buat kepada masyarakat sekeliling terutamanya kepada ahli rantaian bekalan.
“Ketiga, kesannya terhadap ekonomi negara sama ada sosial, pekerjaan dan sumbangan kewangan kepada negeri,” katanya pada Majlis Perasmian Pejabat Hornbill Networks Consortium Sdn Bhd di sini, kelmarin.
Dalam pada itu, Naroden berkata, salah satu daripada projek yang dibuat oleh Syarikat Hornbill Network Consortium Sdn Bhd ialah pembangunan harta tanah.
“Kebanyakan yang berkata dan berfikir bahawa semasa pandemik Covid-19 ini, peniagaan ataupun aktiviti harta tanah amat terjejas seperti projek-projek yang lain.
“Kebanyakan rantaian bekalan berpendapat bahawa pembangunan harta tanah adalah salah satu projek yang kebanyakannya dipengaruhi oleh pandemik Covid-19 seperti perniagaan dan perkhidmatan lain,” ujarnya.
Naroden berharap Hornbill Network Consortium Sdn Bhd akan melakukan dengan baik dan dapat menunjukkan kepada seluruh bidang harta tanah bahawa mereka dapat melawan kesan negatif Covid-19.
Turut hadir, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Hanizam Hashim.
Oleh Cheryl Law