
MIRI: Jabatan Pesakit Luar Klinik Kesihatan UTC Miri dan Klinik Pergigian UTC Miri akan ditutup sementara mulai Sabtu ini hingga 14 Disember depan bagi tujuan kerja-kerja pembaikan serta naik taraf fasiliti kesihatan.
Menurut kenyataan bersama Pejabat Kesihatan Bahagian Miri dan Pejabat Kesihatan Pergigian Bahagian Miri, penutupan itu perlu dilakukan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pesakit serta anggota kesihatan sepanjang tempoh kerja dijalankan.
“Sepanjang tempoh tersebut, hanya perkhidmatan kesihatan ibu dan anak akan diteruskan di klinik berkenaan,” jelas kenyataan itu hari ini.
Pesakit yang memerlukan rawatan atau perkhidmatan kesihatan disarankan mendapatkan rawatan di klinik berhampiran seperti Klinik Kesihatan Jalan Merbau, Klinik Kesihatan Bandaraya Miri, Klinik Pergigian Jalan Merbau atau Klinik Pergigian Bandaraya Miri.
Kedua-dua jabatan tersebut dijangka kembali beroperasi seperti biasa pada 15 Disember selepas kerja-kerja pembaikan dan naik taraf disiapkan oleh kontraktor yang dilantik.
Pejabat Kesihatan Bahagian Miri memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul dan menghargai kerjasama serta kefahaman orang ramai sepanjang tempoh penutupan sementara ini.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan Sektor Pembangunan Kesihatan Keluarga, Pejabat Kesihatan Bahagian Miri di talian 085-322 461 (termasuk WhatsApp) atau Pejabat Kesihatan Pergigian Bahagian Miri di talian 085-416 323 pada waktu pejabat.
Oleh Liong Chai Ling