

MIRI: Seorang wanita berdepan detik cemas apabila menemui seekor anak biawak bersembunyi bawah katil di rumahnya di Jalan Cendawan di sini, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong, Henry Jugah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.10 malam berhubung penemuan reptilia itu.
Katanya, seramai tujuh anggota dari Pasukan Alpha dikejarkan ke lokasi dengan sebuah jentera.
“Setibanya pasukan di lokasi, didapati seekor anak biawak berada di bawah katil dalam bilik tidur pengadu.
“Anggota kemudian menggunakan penjerut bagi menangkap reptilia tersebut dengan selamat tanpa sebarang insiden tidak diingini,” katanya di sini.
Henry berkata, selepas memastikan keadaan terkawal, operasi itu tamat 9.21 malam.
Oleh Liong Chai Ling