
NIAH: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Miri telah menganjurkan Ceramah dan Pameran Antidadah bagi menyemai kesedaran awal mengenai bahaya dadah dalam kalangan generasi muda, di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Belipat di sini.
Program itu diadakan sempena Minggu Program Antidadah sekolah berkenaan, bertujuan mendidik pelajar tentang kepentingan menjauhi dadah sejak usia muda.
Kenyataan AADK, program itu bertujuan memberi pendedahan kepada para murid tentang bahaya penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang, di samping memupuk amalan gaya hidup sihat dan positif sejak di bangku sekolah.

Katanya, satu ceramah telah disampaikan oleh Syahrul Abu Bakar dari Unit Pencegahan AADK Daerah Miri dengan penglibatan seramai 80 murid terdiri daripada murid Pra Sekolah hingga Tahun 6.
Selain ceramah, AADK turut membuka ruang pameran antidadah yang memaparkan pelbagai bahan maklumat interaktif dan edaran risalah kesedaran, kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, AADK Daerah Miri menzahirkan penghargaan kepada pihak sekolah atas jemputan dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program tersebut.

Tambahnya, usaha sebegini diharap dapat membantu melahirkan generasi bebas dadah serta memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi kerajaan dan institusi pendidikan.
Justeru, AADK Daerah Miri juga mengalu-alukan jemputan daripada mana-mana sekolah atau institusi yang berminat untuk mengadakan program seumpamanya dalam usaha memperkukuh pencegahan dadah di peringkat akar umbi.
Oleh Adum Liu