
KAPIT: Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), melalui agensinya, Agensi Pembangunan Rajang Hulu (URDA), telah membuka lembaran baharu dalam era pembangunan dan kemajuan di kawasan Hulu Rajang dengan perasmian Pejabat URDA yang telah dinaik taraf.
Selain itu, turut diadakan pelancaran simbolik Projek Komuniti Berimpak Tinggi (HICP) yang dijangka memberi manfaat kepada masyarakat setempat dan menyokong pembangunan sosioekonomi di kawasan itu.
Menurut RECODA, majlis yang diadakan di sini hari ini dimulakan dengan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Sarawak (SDCCM) yang dipengerusikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Mesyuarat tersebut menumpukan kepada penilaian kemajuan projek pembangunan utama di seluruh negeri bagi memastikan keselarasan dengan matlamat pertumbuhan sosioekonomi Sarawak.
Selepas mesyuarat tersebut, Abang Johari bersama Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Kapit Dato Sri Alexander Nanta Linggi dan para kenamaan lain telah merasmikan pembukaan Pejabat URDA.
Bangunan yang telah direnovasi ini menampilkan kemasan seni bina yang dipertingkatkan serta sistem mekanikal, elektrik dan audiovisual yang dinaik taraf bagi menyokong fungsi operasi yang lebih efisien.
Pada majlis tersebut, beberapa acara simbolik turut dijalankan termasuk penyerahan replika kunci pejabat oleh Nanta serta pelancaran Pelan Induk Kapit (Kapit Masterplan) oleh Ketua Pegawai Eksekutif RECODA Datuk Ismawi Ismuni.
Pelan Induk Kapit ini bertujuan untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai pusat pertumbuhan mampan melalui penambahbaikan aksesibiliti, keterhubungan wilayah serta kualiti hidup komuniti setempat.
Oleh Akun Giman