Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • JENAYAH
  • AKPS gagalkan cubaan seludup dadah ke Manchester bernilai RM8.3 juta
  • JENAYAH

AKPS gagalkan cubaan seludup dadah ke Manchester bernilai RM8.3 juta

Utusan Sarawak 14 hours ago
MOHD Shuhaily berkata kesemua individu yang dipercayai diperdaya menjadi keldai dadah itu kini ditahan di Kompleks Pencegahan Negeri Kastam Pulau Pinang untuk siasatan lanjut. Foto fail BERNAMA

SEPANG: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menggagalkan cubaan empat warga tempatan menyeludup dadah jenis ganja seberat 86 kilogram bernilai hampir RM8.3 juta ke Manchester, United Kingdom, melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada 3 November lepas.

Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata cubaan tersebut dilakukan oleh dua pasangan lelaki dan wanita berusia lingkungan 20-an dari Johor, selepas bagasi milik seorang daripada mereka diimbas semula oleh pihak syarikat penerbangan apabila pasangan itu tidak dibenarkan menaiki pesawat.

“Pasangan ini datang dari Johor ke Pulau Pinang menaiki bas dan menginap di beberapa hotel sekitar George Town. Mereka sepatutnya berlepas ke Manchester seperti yang dijanjikan.

“Mereka ini masih muda, ada yang bekerja sendiri, seorang pemandu e-hailing dan seorang lagi dalam sektor minyak dan gas. Kita nasihatkan orang ramai supaya jangan mudah terpedaya dengan tawaran sedemikian. Tiada yang datang mudah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut membawa kepada penahanan pasangan berkenaan serta dua lagi individu yang telah mendaftar masuk bersama sebelum itu.

“Pasangan pertama yang mendaftar masuk terlebih dahulu berjaya menaiki pesawat dengan tiket ke Manchester seperti dijanjikan. Namun pasangan kedua menyedari tiket penerbangan mereka hanya sehingga Singapura,” katanya.

Beliau berkata pihak syarikat penerbangan kemudian menghubungi pegawai AKPS untuk mengiringi pasangan tersebut mengambil semula bagasi mereka, dan hasil imbasan di kawasan ketibaan menemukan objek mencurigakan yang disahkan sebagai ganja selepas pemeriksaan lanjut.

“Hasil siasatan awal mendapati semua suspek mengaku menerima tawaran pekerjaan melalui aplikasi TikTok untuk membawa barangan sambil melancong dengan bayaran antara RM8,000 hingga RM11,000,” katanya.

Kesemua individu yang dipercayai diperdaya menjadi keldai dadah itu kini ditahan di Kompleks Pencegahan Negeri Kastam Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.

“Kes diserahkan kepada Bahagian Narkotik Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran kerja dalam talian, terutama yang melibatkan perjalanan ke luar negara atau urusan dengan individu tidak dikenali.- Bernama

Continue Reading

Previous: Tiga lelaki ditahan dalam operasi banteras dadah di Lawas
Next: Penjawat awam wanita di Sibu lesap RM44,000 terkena ‘scam’

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.