MATU: Program Merdeka@Komuniti Peringkat Daerah Matu 2020 di sambut secara sederhana tapi meriah.
Sekitar 150 orang hadir ke program tersebut yang dirasmikan Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi di Wisma Persekutuan Matu, Jumaat lalu.
Majlis kelolaan Pejabat Penerangan Daerah Matu ini merupakan program tahunan Jabatan Penerangan Malaysia dalam usaha untuk menyemarakkan Bulan Kebangsaan dan menyemai semangat kecintaan kepada negara di dalam diri masyarakat dengan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan 2020.
Ketika berucap dalam majlis, Ahmad Johnie menyatakan bahawa selaku rakyat Malaysia kita seharusnya mengetahui maksud yang tersirat di dalam Jalur Gemilang bukan hanya sekadar melontarkan nyanyian Lagu Negara Ku pada setiap majlis utama.
Beliau menegaskan, salah satu cara menzahirkan semangat patriotisma ini ialah dengan turut memahami dan menghayati maksud yang tersirat dalam setiap prinsip Rukun Negara.
Menurut beliau, penghayatan tersebut bertujuan untuk memastikan kesejahteraan dan perpaduan dalam hidup bermasyarakat serta sebagai panduan untuk hidup secara rukun dan damai.
Tambahnya,kemerdekaan adalah sinonim dengan kebebasan dalam negara demokrasi namun, ia bukan kebebasan mutlak dan perlu mengikut keterbatasan tertentu untuk mengekalkan keharmonian dalam masyarakat pelbagai kaum.
Terdahulu, Pegawai Penerangan Daerah Matu, Nor Hidayah Ismail berkata, majlis ini dianjurkan untuk meraikan ukhuwah di antara Pejabat Penerangan Daerah Matu bersama warga Wisma Persekutuan dengan ketua masyarakat di Daerah Matu dan juga sebagai penghargaan dan terima kasih di atas sokongan warga Wisma Persekutuan dan ketua masyarakat terhadap program anjuran Pejabat Penerangan Daerah Matu.
Pada majlis sama, Ahmad Johnie juga menyempurnakan acara pelepasan Konvoi Jalur Gemilang yang disertai oleh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Matu.
Turut hadir, Penyelia Faseliti Ambang Wira Sdn. Bhd. Matu, Elis Erwandy Kaderi, Pegawai RELA, Norazwar Buang, Ketua Jabatan dan ketua masyarakat.