

DARO: Serbuan ke atas dua rumah tidak bernombor di sini semalam membawa kepada penangkapan dua lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis Daerah Matu Daro, DSP Rahim Mihos berkata, kedua-dua lelaki tersebut telah ditahan semasa Op Tapis khas oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Matu Daro.
“Dalam serbuan pertama, seorang lelaki yang berada di dalam rumah telah ditangkap. Polis turut merampas dadah disyaki jenis syabu seberat kira-kira 5.50 gram. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, manakala serbuan di rumah kedua tidak menemui sebarang dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Berikutan itu, kedua-dua lelaki berkenaan turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih daripada RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun,” ujarnya.
Rahim menegaskan bahawa IPD Matu Daro memandang serius kesalahan berkaitan dadah dan tidak akan berkompromi terhadap gejala yang boleh merosakkan masyarakat.
“Justeru, masyarakat diminta agar menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dadah di daerah Matu Daro kepada pihak polis. Maklumat boleh disalurkan kepada IPD Matu Daro di talian 084-823222,” katanya lagi.
Oleh Akun Giman