


OP MOTOSIKAL…..Pihak polis menjalankan operasi Op Motosikal di sekitar kawasan pasar Bintangor dan Jalan KJD. Foto IPD Meradong
BINTANGOR: Seramai 12 individu diperiksa dalam operasi Op Motosikal yang dijalankan oleh pihak polis di sekitar kawasan pasar Bintangor dan Jalan KJD.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering, berkata operasi yang bermula 12.00 tengah malam hingga 2.00 pagi tadi dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong.
“Operasi ini dijalankan bagi membanteras kegiatan lumba haram, pengubahsuaian motosikal, serta memastikan penunggang motosikal mematuhi undang-undang dan spesifikasi kenderaan yang ditetapkan.
“Seramai 12 individu telah diperiksa, melibatkan 10 kenderaan iaitu lapan motosikal dan dua kereta.


OP MOTOSIKAL…..Pihak polis menjalankan operasi Op Motosikal di sekitar kawasan pasar Bintangor dan Jalan KJD. Foto IPD Meradong
“Sepanjang operasi dijalankan, pihak polis telah mengeluarkan saman atas pelbagai kesalahan jalan raya seperti tiada lesen memandu, tiada cermin sisi dan ubah suai ekzos,” katanya ketika dihubungi media, hari ini.
Tansli turut memaklumkan bahawa tiada sebarang kegiatan lumba haram dikesan sepanjang operasi tersebut.
“Tidak ada pelumba-pelumba haram dikesan semasa Op Motosikal kali ini.
“Harap tidak berlaku lagi aktiviti lumba haram di hujung minggu,” katanya.
Beliau turut menasihatkan semua penunggang motosikal agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat dan mengikut spesifikasi.
“Ibu bapa juga digesa agar memantau pergerakan anak-anak bagi mengelakkan mereka terlibat dalam aktiviti tidak sihat atau menyalahi undang-undang,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek