
SARIKEI: Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien, mengegesa golongan wanita muda agar lebih aktif menyertai Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) sebagai penerus perjuangan menghadapi pelbagai cabaran sosial dan teknologi masa kini.
Beliau menekankan bahawa penglibatan mereka juga dapat memperkukuh daya tahan masyarakat terhadap pengaruh dunia digital.
Katanya, mereka perlu tampil sebagai pelapis kepada kepimpinan PPWS agar kesinambungan peranan pertubuhan tersebut terus relevan dalam mendepani perubahan zaman dan cabaran media sosial yang semakin mencabar.
“Mereka perlu menjadi ahli PPWS lebih ramai berbanding ahli-ahli terdahulu.
“Kini banyak cabaran perlu dilalui, terutamanya isu media sosial dan teknologi yang memberi kesan besar kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam amal sempena sambutan ulang tahun ke-63 PPWS yang diadakan di Dewan Sentral Sarikei, malam tadi.

Katanya, antara cabaran yang dihadapi masyarakat kini termasuklah penipuan dalam talian, perjudian maya serta penyalahgunaan teknologi komunikasi yang boleh menjejaskan kesejahteraan sosial.
“Banyak masalah sosial berpunca daripada telefon pintar. Jika kita mencari sumber yang baik, ia ada dalam telefon pintar.
“Begitu juga sebaliknya, jika mencari sumber yang salah, juga mudah didapati melalui gajet ini,” ujarnya.
Tambahnya, PPWS perlu terus memainkan peranan bukan sahaja dalam memperkasa wanita, tetapi juga mencari jalan penyelesaian kepada isu sosial yang semakin kompleks dalam masyarakat.
Pada majlis tersebut, Larry yang juga Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) turut menyalurkan sumbangan sebanyak RM2,000 kepada PPWS.
Oleh Earl Anek