Serangan tikam dalam kereta api UK cederakan 10 orang, dua suspek ditahan

Facebook
WhatsApp
Pegawai polis berada di platform berhampiran sebuah kereta api LNER Azuma di Stesen Huntingdon, Huntingdon, England Timur, semalam susulan serangan tikam dalam tren. Polis UK memaklumkan mereka telah menahan dua suspek semalam selepas beberapa orang dibawa ke hospital akibat serangan tikam dalam tren di Cambridgeshire, England Timur. “Pada masa ini, kami sedang menangani insiden dalam tren menuju Huntingdon di mana beberapa orang telah ditikam,” menurut British Transport Police di X, sambil menambah bahawa ‘dua orang telah ditahan’. Foto AFP

Huntingdon, United Kingdom: Polis UK menahan dua suspek selepas satu serangan tikam beramai-ramai dalam kereta api menuju London semalam yang mengakibatkan 10 orang dimasukkan ke hospital, termasuk sembilan yang dipercayai mengalami kecederaan mengancam nyawa.

Polis bersenjata, dibantu oleh kenderaan polis dan beberapa ambulans, menyerbu sebuah stesen kereta api di bandar luar bandar Huntingdon, Cambridgeshire, selepas kereta api itu dihentikan berikutan laporan serangan. British Transport Police memaklumkan bahawa unit anti-keganasan turut menyokong siasatan.

Kereta api berkenaan bergerak dari Doncaster ke Stesen King’s Cross, London, laluan sibuk yang sering dipenuhi penumpang. Seorang saksi memberitahu The Times bahawa dia melihat seorang lelaki bersenjatakan pisau besar dan terdapat ‘darah di mana-mana’ ketika penumpang bersembunyi di tandas.

Beberapa penumpang turut diperlakukan kasar ketika cuba melarikan diri. Saksi lain memberitahu Sky News bahawa lelaki bersenjatakan pisau itu ditahan polis di platform.

Perdana Menteri UK, Keir Starmer, menyifatkan insiden itu sebagai ‘amat membimbangkan’.

“Fikiran saya bersama semua yang terjejas, dan terima kasih kepada pihak kecemasan atas tindak balas mereka,” katanya.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Shabana Mahmood, mengesahkan dua orang telah ditahan. -AFP