
KUALA LUMPUR: Kuching City FC (KCFC) berpesta gol di Stadium Selayang, Selangor dengan membelasah PDRM FC, 5-0 dalam saingan Liga Super 2025/2026 hari ini.
Lebih manis apabila ayam tambatannya, Wanja Ronald Ngah atau ‘Pak Ngah’ turut berjaya nenjaringkan hatrick pertamanya dalam kempen kali ini dengan jaringan pada minit ke-20, ke-31 dan ke-37.
KCFC memulakan permainan dengan garang dengan asakan yang bertali arus sebelum membuka jaringan pada minit ke-13 hasil tandukan pemain pertahanan Yuki Tanigawa.
Permulaan cemerlang KCFC diteruskan lagi apabila Pak Ngah menjaringkan gol kedua setelah merampas hantaran kemas Muhammad Ramadan Saifullah yang bijak memperdayakan pertahanan tuan rumah.
PDRM cuba bangkit pada minit ke-28 melalui percubaan pemain penyerang mereka Hadi Fayyadh, namun sepakan itu melambung jauh meskipun hanya berdepan penjaga gol Haziq Nadzli.
Minit ke-31, Ronald Ngah sekali lagi menjadi mimpi ngeri buat benteng PDRM apabila melepaskan rembatan deras dari luar kotak penalti untuk menambah jaringan kedua peribadi dan ketiga buat KCFC.
Dominasi KCFC terus berlanjutan pada minit ke-37, apabila Ronald Ngah melengkapkan hatrik selepas berjaya melepasi perangkap ofsaid hasil hantaran lambung cantik daripada Moses Atende.
Pasukan PDRM FC yang semakin hilang rentak hanya mampu bertahan dan sesekali cuba melancarkan serangan balas, namun tiada sebarang ancaman berbahaya dicipta sehingga wisel penamat separuh masa pertama ditiupkan.
Bersambung aksi kedua, dominasi anak buah Aidil Sharin Sahak diteruskan namun PDRM FC masih lagi mencari rentak permainan mereka menerusi beberapa siri percubaan ke kubu kental KCFC.
Malam bergaya pelawat dilengkapkan menerusi jaringan sepakan penalti Ramadan pada minit ke-54 selepas Gabriel Nistelrooy dikasari di dalam petak penalti.
Kemenangan ini menyaksikan KCFC selesa di tempat ketiga dalam carta kedudukan Liga Super 2025/2026 dengan 17 mata di mana tempat pertama dan ketiga masing-masing diduduki oleh JDT (27 mata) dan Kuala Lumpur FC (20 mata).
-UKAS