
JULAU: Polis sedang menyiasat satu kes pengabaian kanak-kanak membabitkan seorang wanita berusia 21 tahun selepas anak lelakinya berumur empat tahun ditemukan dalam keadaan kritikal.
Ketua Polis Daerah (KPD) Julau, DSP Alif Haiqal Ramesh Abdullah, berkata pada 21 Oktober lalu, pada lebih kurang 8.00 malam, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Julau telah menjalankan siasatan berhubung satu kejadian pengabaian kanak-kanak yang dilaporkan berlaku di daerah ini.
“Kejadian tersebut dilaporkan pada 21 Oktober 2025 sekitar 3.30 petang, apabila seorang kanak-kanak lelaki berumur empat tahun telah dihantar ke wad kecemasan Hospital Sibu dalam keadaan mengalami pendarahan otak yang kritikal dan retak pada tengkorak kepala.
“Kanak-kanak tersebut telah menerima rawatan di unit rawatan rapi pediatrik dalam keadaan lemah dan dipercayai tidak mendapat penjagaan sewajarnya.
“Bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan pihak polis dari BSJD Julau telah ke lokasi dan menahan suspek iaitu seorang wanita berumur 21 tahun yang juga merupakan ibu kanak-kanak tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Tambahnya, kertas siasatan telah dikemukakan kepada Kamar Pengarah Pendakwaan Negeri dan arahan telah diberikan untuk menuduh suspek di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sarikei semalam.
“Tiada pengakuan direkodkan dan tiada jaminan ditawarkan.
“Tertuduh kini menjalani reman di Penjara Sibu sehingga sebutan semula kes pada 13 November 2025,” katanya.
Tegasnya, Polis Diraja Malaysia (PRDM) memandang serius sebarang bentuk pengabaian terhadap kanak-kanak dan menggesa orang ramai agar sentiasa peka terhadap kebajikan kanak-kanak di sekeliling mereka.
“Orang ramai diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang berbeza dengan kesalahan yang telah dilakukan di mana boleh menimbulkan keraguan memandangkan siasatan sentiasa dijalankan secara adil dan saksama selaras dengan peruntukan undang-undang yang ditetapkan,” katanya.
Oleh Earl Anek