KUCHING: Co-opbank Pertama (CBP) Malaysia Berhad akan memperkasakan usaha untuk melebarkan sayapnya ke seluruh negara dengan menubuhkan lebih banyak cawangan di seluruh negara.
Presiden / Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nor Abd Razak berkata, bank yang mula bertapak di Pulau Pinang sejak lebih 70 tahun lalu itu kini merancang untuk menubuhkan dua cawangan di setiap negeri.
“Untuk di Sarawak kita sudah ada satu cawangan di Kuching dan merancang untuk menubuhkan satu lagi cawangan di Miri.
“Setelah kita membuat kajian berkenaan lokasi yang sesuai, kita jangkakan cawangan di Miri mula dibina pada penghujung tahun depan selepas cawangan yang di Tawau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan ringkas pada Sesi Makan Tengah Hari CBP Bersama Wakil Media di sebuah restauran terkemuka di sini, semalam.
Menurut Mohd Nor rancangan bank berkenaan untuk menambah sebuah lagi cawangan di Sarawak sebenarnya selari dengan saranan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang mahu pihak bank berkenaan mengukuhkan lagi cengkamannya di Bumi Kenyalang sekali gus merancakkan lagi kegiatan ekonomi khasnya sektor kewangan.
“Saya sudah bertemu dengan Datuk Patinggi Abang Johari sebanyak dua kali, dan beliau amat gembira serta menggalakkan kami (CBP) untuk memainkan peranan lebih aktif di Sarawak.
“Bukan sahaja merancakkan lagi sektor ekonomi, malah menurut beliau (Abang Johari) … beliau mahu kita bantu masyarakat tempatan, sama seperti ketika ini kakitangan di cawangan kita di Kuching, kesemua 15 orang daripadanya adalah penduduk tempatan,” ujarnya.
CBP sehingga kini telah menubuhkan sebanyak 26 cawangan di seluruh negara dan menawarkan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan kepada orang ramai seperti pembiayaan Persendirian-i Lestari dan banyak lagi.