
BINTANGOR: Seorang wanita berusia 35 tahun ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penjualan nombor loteri awam tanpa lesen yang sah di kawasan Pasar Bintangor petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering, berkata serbuan itu dilakukan sekitar jam 5.55 petang oleh sepasukan Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong.
“Semasa serbuan, pihak polis memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa sebelum menahan seorang wanita berumur 35 tahun.
“Dalam pemeriksaan tersebut, pihak polis telah menemui barang-barang yang disyaki digunakan untuk aktiviti penjualan nombor loteri awam tanpa lesen yang sah.
“Suspek kemudian ditangkap dan barang kes dirampas serta dibawa balik ke Balai Polis Bintangor untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Tambahnya, semakan rekod jenayah mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
“Suspek menyatakan telah menjalankan aktiviti penjualan loteri tersebut lebih kurang dua minggu untuk mencari pendapatan tambahan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak melebihi RM200,000 atau lima tahun penjara.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang dan menyeru supaya menyalurkan maklumat kepada pihak polis di talian 084-693222,” katanya.
Oleh Earl Anek