KUCHING: Pelaksanaan penambahbaikan program dan inisiatif biodiesel negara selain pembukaan pasaran-pasaran baharu telah membantu melonjakkan harga minyak sawit pada masa ini, kata Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Willie Mongin.
Beliau berkata sebagai contoh, harga minyak sawit mentah (MSM) kini mencecah RM2,880 satu tan manakala tandan buah segar (TBS) sawit dalam lingkungan RM540 satu tan selepas susut sehingga RM260 satu tan sebelum ini.
“Kita yakin dapat sekurang-kurangnya mengekalkan paras harga sekarang. Malah, kesungguhan kerajaan menjalin hubungan diplomasi yang baik dengan negara-negara pembeli turut membantu peningkatan harga ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Jom Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) di sini, semalam.
Mengulas aspek pensijilan itu, Willie berkata selain bertujuan mengiktiraf kualiti sawit yang dihasilkan, usaha berkenaan juga dapat menjamin penggiat terbabit meraih harga jualan yang lebih baik.
“Terdapat sejumlah 452 kilang buah sawit di negara yang mana sebanyak 408 atau 90.27 peratus telah mendapat MSPO.
“Di Sarawak pula, sebanyak 77 kilang atau 95 peratus daripada keseluruhan 81 kilang tersebut telah mempunyai MSPO,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Puncak Borneo berkata, setakat 28 Ogos lepas, seluas 5.04 juta hektar atau 85.45 peratus daripada 5.9 juta hektar tanaman sawit telah mendapat pensijilan MSPO manakala di Sarawak ia meliputi 202,016 hektar.
Dalam pada itu, Willie berkata kerajaan tidak akan bersikap kejam atau enggan bertolak ansur dengan pekebun kecil di Sarawak yang belum mempunyai pensijilan itu walaupun tarikh akhir untuk berbuat demikian telah tamat pada 31 Disember lepas.
“Ada pekebun ini memiliki tanah yang tiada geran pemilikan sedangkan ini salah satu syarat (memperoleh pensijilan) dan perkara ini memakan masa untuk diselesaikan. Kita boleh berbincang dengan pekebun-pekebun kecil ini yang mungkin menghadapi kekangan tertentu,” katanya.
Malah, katanya, pekebun-pekebun yang belum memiliki persijilan ini masih dibenarkan untuk menjual hasil sawit masing-masing mengikut gred kualiti yang ditetapkan oleh pengilang.
“Namun begitu kita tidak menggalakkan pekebun kecil untuk terus tidak memiliki MSPO kerana mahu mereka mematuhi prosedur dan polisi ditetapkan di peringkat antarabangsa,” katanya.- Bernama