
BINTANGOR: Pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong mempertingkatkan pemantauan keselamatan di semua sekolah termasuk sekolah berasrama di Daerah Meradong bagi memastikan persekitaran pembelajaran kekal selamat dan terkawal.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering, berkata lawatan pemantauan ke sekolah-sekolah di seluruh daerah telah dijalankan sejak Januari lalu oleh Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS).
“Setiap sekolah di Daerah Meradong ditempatkan seorang atau dua orang pegawai atau anggota polis untuk menjadi PPS.
“Oleh kerana sejak akhir-akhir ini ada kes buli atau jenayah berlaku di sekolah, maka kita buat lawatan lebih kerap lagi,” katanya ketika dihubungi media, semalam.
Katanya, lawatan pemantauan dijalankan oleh pegawai atau anggota polis daripada Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) menggunakan MPV pada sebelah siang dan malam bagi sekolah berasrama untuk memantau disiplin.
“Ia adalah bagi memantau disiplin dan pekara yang tidak diingini berlaku seperti buli dan lain-lain.
“Disamping itu, ia juga meningkatkan kehadiran serta keterlihatan (omni-presence) polis di setiap sekolah,” katanya.
Oleh Earl Anek