Inisiatif kebajikan Datoʼ Sri Huang Tiong Sii ringankan beban warga emas

Facebook
WhatsApp
TERIMA BANTUAN….Wong Chin Hui (baring) bergambar bersama kakitangan Pusat Khidmat Repok dan ahli keluarganya. Foto Pusat Khidmat Repok 

SARIKEI: Seorang wanita warga emas berumur 92 tahun telah menerima sumbangan berupa katil pesakit boleh laras daripada Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok), Datoʼ Sri Huang Tiong Sii.

Jurucakap Pusat Khidmat Repok berkata, penerima bantuan tersebut ialah Wong Chin Hui dari Jalan Tai Ping.

“Katil pesakit boleh laras telah diserahkan kepada penerima oleh kakitangan Pusat Khidmat Repok baru-baru ini, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Datoʼ Sri Huang Tiong Sii membantu golongan warga emas dan pesakit terlantar di rumah.

“Bantuan dibuat setelah menerima maklumat mengenai keadaan Chin Hui yang memerlukan kemudahan katil pesakit untuk penjagaan harian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambahnya, ia menunjukkan keprihatinan Tiong Sii terhadap kebajikan warga emas yang memerlukan bantuan peralatan kesihatan di rumah.

“Inisiatif sebegini bukan sahaja membantu meringankan beban keluarga pesakit, malah turut meningkatkan keselesaan penerima semasa mendapatkan rawatan dan penjagaan rapi di rumah.

“Ahli keluarga Chin Hui turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas bantuan yang disalurkan, sambil menyifatkan sumbangan itu amat bermakna dalam memudahkan penjagaan harian warga emas tersebut,” katanya.

Oleh Earl Anek