
MIRI: Penantian hampir setahun penghuni Rumah Panjang Chengki yang kehilangan tempat berteduh akibat kebakaran akhirnya berbalas apabila kerajaan menyalurkan bantuan berjumlah RM1.47 juta bagi membina semula rumah panjang mereka di Skim Rancangan Sepupok, Niah.
Bantuan itu diserahkan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus, kepada Tuai Rumah Chengki Mangun dalam satu majlis rasmi di rumah panjang berkenaan, hari ini.
Menurut Rosey, bantuan berkenaan membabitkan 21 Ketua Isi Rumah (KIR) dengan setiap pintu menerima RM70,000 untuk pembinaan semula kediaman yang musnah dalam kebakaran pada 31 Disember tahun lalu.
“Harapan kita agar semua keluarga ini nanti akan mendapat rumah baharu yang lebih selesa.
“Buat masa ini, urusan proses dan tender akan dilaksanakan oleh Pejabat Daerah Subis dan kita harapkan semuanya berjalan lancar,” katanya kepada media selepas majlis tersebut.
Rosey berkata, pelantikan kontraktor dijangka dibuat pada Januari 2026, tertakluk kepada kelulusan dan proses dokumentasi.
Beliau turut mengingatkan penduduk agar bersabar dan memberi kerjasama sepenuhnya sepanjang tempoh pembinaan bagi memastikan projek dapat disiapkan mengikut jadual.
“Insya-Allah, sekiranya tiada masalah lain, penyerahan kepada kontraktor dapat dilakukan dalam masa terdekat,” tambahnya.
Oleh Liong Chai Ling