
BINTULU: Jeti nelayan Kampung Sebuan Kecil di Jepak kini siap dinaik taraf di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Jepak 2025 bagi meningkatkan keselamatan dan kemudahan komuniti pesisir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee, berkata projek bernilai RM200,000 itu merangkumi kerja-kerja penambahbaikan struktur jeti, pemasangan lampu solar, serta papan tanda keselamatan sebagai panduan kepada para nelayan sebelum turun ke laut.
“Saya juga ingin berpesan kepada para nelayan agar mematuhi senarai semak keselamatan dan memastikan semua peralatan penting lengkap sebelum turun ke laut bagi mencari rezeki,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau tapak projek pemasangan lampu solar dan papan tanda keselamatan di jeti nelayan Kampung Sebuan Kecil, Jepak di sini semalam.
Menurut Iskandar, pihaknya bersama Pejabat Daerah Bintulu turut merancang untuk menambah baik aspek keselamatan dengan membina bumbung di jeti tersebut melalui pendekatan gotong-royong masyarakat setempat, seperti yang pernah dilaksanakan di jeti Kuala Tatau.
“Pendekatan berasaskan komuniti bukan sahaja menjimatkan kos, tetapi juga memupuk semangat tanggungjawab dan rasa memiliki dalam kalangan penduduk yang menggunakan kemudahan ini,” katanya.
Projek menaik taraf jeti nelayan Kampung Sebuan Kecil dijangka memberi manfaat besar kepada komuniti pesisir dengan menyediakan kemudahan yang lebih selamat, selesa dan kondusif.
Oleh Carolyne Utih