Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Trump tiba di Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, lawatan Presiden AS pertama dalam tempoh sedekad
  • NASIONAL

Trump tiba di Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, lawatan Presiden AS pertama dalam tempoh sedekad

Utusan Sarawak 8 hours ago
PESAWAT Air Force One yang membawa Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memasuki ruang udara negara menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. Foto BERNAMA

SEPANG: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump tiba di Malaysia hari ini untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara, menandakan lawatan pertama Presiden AS ke negara ini dalam tempoh sedekad.

Pesawat rasmi Presiden AS, Air Force One, mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 9.54 pagi dan disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir menyambut ketibaan pemimpin AS ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Duta Besar AS ke Malaysia Edgard D. Kagan.

Konvoi rasmi presiden turut merangkumi “The Beast”, kenderaan rasmi yang diterbangkan khas bagi lawatan ini, yang akan digunakan sepanjang berada di Malaysia.

Selepas saling bertanya khabar, Anwar dan Trump menaiki The Beast bersama-sama, meninggalkan Kompleks Bunga Raya untuk ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan bermula hari ini hingga 28 Okt.

Kunjungan ini menandakan lawatan rasmi pertama Trump ke Malaysia dan rantau Asia Tenggara sejak dipilih sebagai Presiden AS bagi penggal kedua pada Januari lepas.

Trump ialah Presiden Amerika ketiga dalam sejarah yang melawat Malaysia, selepas Lyndon B. Johnson pada 1966 dan Barack Obama pada 2014 dan 2015.

Sepanjang penggal pertama Trump (2017-2021), Presiden AS itu pernah menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN 2017 di Filipina, namun tidak mengikuti mesyuarat berikutnya, sekali gus mengundang persoalan tentang komitmen jangka panjang Washington terhadap Asia Tenggara.

Lawatan terakhir Presiden AS ke Malaysia ialah Obama pada 2015, menjadikan ketibaan Trump kali ini satu detik diplomatik yang penting, tatkala Washington berusaha memperkukuh hubungan dengan Asia Tenggara di tengah-tengah persaingan strategik global yang semakin sengit.

Kunjungan ke Asia adalah yang pertama bagi Trump sejak memulakan penggal kedua sebagai presiden pada Januari lepas. 

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 menghimpunkan pemimpin tertinggi dari 10 negara anggota serta rakan dialog termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun dan India, sekali gus menekankan peranan ASEAN sebagai platform utama untuk dialog dan kerjasama dalam suasana dinamik global yang semakin berubah.

Trump dijangka menyertai dialog peringkat tinggi dan menyaksikan pemeteraian KL Accord – perjanjian damai penting antara Thailand dengan Kemboja yang bertujuan menamatkan pertikaian sempadan dua negara selama beberapa dekad.

Anwar menyifatkan lawatan Trump ini sebagai satu pencapaian diplomatik yang mencerminkan penglibatan semula AS dengan Asia Tenggara.

Perdana Menteri berkata Malaysia kekal komited menjadikan sidang kemuncak itu sebagai platform untuk mempromosikan dialog, memperkukuh kerjasama dan menonjolkan kepentingan strategik ASEAN.

Antara pemimpin dunia yang turut menghadiri sidang kemuncak itu ialah Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva, Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa dan Perdana Menteri Jepun yang baharu Sanae Takaichi.

Wisma Putra dalam kenyatan semalam memaklumkan Trump melakukan lawatan rasmi ke Malaysia bermula hari ini hingga esok, atas undangan Anwar selaku Pengerusi ASEAN 2025, bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 dan Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20.

Anwar dan Trump dijadualkan mengadakan mesyuarat dua hala hari ini dan dijangka membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan serta hubungan antara rakyat, selaras dengan Perkongsian Komprehensif Malaysia-AS.

Sidang kemuncak ini adalah yang terakhir dianjurkan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 sebelum menyerahkan kepengerusian kepada Filipina.

-BERNAMA

Tags: Nasional

Continue Reading

Previous: PM Anwar rasmi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47
Next: Anwar, Trump saksikan pemeteraian ‘Delivering Peace’ Thailand – Kemboja

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.