KUALA LUMPUR: Nilai moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan dianggarkan berjumlah RM78.14 bilion setakat 21 Ogos 2020, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz semalam.
Beliau berkata daripada angka ini, sebanyak RM27.35 bilion adalah jumlah yang dimanfaatkan oleh sektor perniagaan manakala sejumlah RM50.79 bilion lagi oleh rakyat.
Bagi mereka yang masih memerlukan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar selepas 30 September 2020, institusi perbankan bersedia untuk membantu peminjam, ujar Tengku Zafrul.
“Pihak yang masih terkesan boleh mula hubungi institusi perbankan untuk berbincang dan memohon fleksibiliti pembayaran balik,” kata beliau dalam Laporan LAKSANA ke-19 mengenai Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
Sementara itu, untuk dana pinjaman mudah perusahaan kecil sederhana (PKS) yang dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia, Tengku Zafrul berkata setakat 21 Ogos 2020, jumlah permohonan yang telah diluluskan oleh bank-bank tempatan dan disetuju terima ialah RM10.2 bilion yang akan memberi manfaat kepada 22,322 PKS.
Beliau berkata jumlah berkenaan merupakan peningkatan daripada RM10.1 bilion pada minggu lalu yang memanfaatkan 22,143 PKS.
Jumlah ini termasuk dana Kemudahan Bantuan Khas, Kemudahan Automasi dan Digital, Kemudahan Semua Sektor Ekonomi dan Kemudahan Agromakanan, jelas beliau.
“Alhamdulillah, Kemudahan Bantuan Khas telah dimanfaatkan sepenuhnya dan lebih 21,000 PKS telah menerima kemudahan ini serta berjaya membantu mengekalkan lebih 400,000 pekerjaan.
“PKS masih boleh memohon pelbagai bantuan pembiayaan seperti dana institusi perbankan dan Tabung BNM seperti Kemudahan Automasi dan Digital, Kemudahan Semua Sektor Ekonomi dan Kemudahan Agromakanan,” kata beliau.
Menyentuh mengenai Bantuan Sara Hidup (BSH), Tengku Zafrul berkata seramai 4.18 juta penerima telah berjaya menerima bayaran BSH berjumlah RM2.7 bilion yang dikreditkan terus ke dalam akaun bank mereka.
Bagaimanapun, beliau menambah penerima BSH yang ‘gagal kredit’ atau bayaran tidak dapat disalurkan ke dalam akaun bank boleh menuntut secara tunai di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) sehingga 31 Disember 2020.
“Saya ingin mengingatkan bahawa permohonan rayuan BSH 2020 dibuka sehingga 6 September 2020,” kata Tengku Zafrul.
Sementara itu, bagi skim pengeluaran i-Lestari di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja(KWSP), jumlah pengeluaran kumulatif di antara April sehingga 21 Ogos 2020, adalah sebanyak RM7.48 bilion, melibatkan 4.57 juta penerima berbanding RM7.4 bilion dengan 4.55 juta penerima pada minggu lalu.
Sehingga 21 Ogos 2020, sebanyak RM10.3 bilion telah diluluskan bagi Program Subsidi Upah yang memanfaatkan lebih 2.61 juta pekerja.
“Daripada jumlah ini, sebanyak RM8.9 bilion telah berjaya disalurkan,” kata Tengku Zafrul.-Bernama