Bantuan wang saku pelajar IPT Sarawak akan diteruskan tahun depan – Premier Sarawak

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hadir ke LBAS 2025 bagi SesiDialog Awam Siswa Siswi Sarawak di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). Foto Masrin Affirah

KUALA LUMPUR: Bantuan wang saku berjumlah RM1,200 kepada pelajar Sarawak yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) akan diteruskan tahun depan, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut beliau, bantuan itu merupakan langkah interim sementara kerajaan negeri memuktamadkan pelaksanaan dasar pendidikan tinggi percuma bagi universiti milik Sarawak yang dijangka bermula pada 2026.

“Duit saku itu akan diteruskan tahun depan dan dasar pendidikan percuma tetap akan berjalan. 

“Jangan risau, kita sudah pastikan pendapatan negeri mampu menampungnya,” katanya  ketika berucap pada Sesi Dialog Awam Siswa Siswi Sarawak di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Tambah beliau, pemberian bantuan wang saku itu adalah komitmen kerajaan negeri untuk mengurangkan beban sara hidup pelajar selain memastikan golongan muda terus mendapat sokongan pendidikan.

Butiran rasmi mengenai pelaksanaan bantuan itu akan diumumkan dalam Belanjawan Sarawak bulan depan, tambahnya.

Oleh Masrin Affirah