

KESELAMATAN SEKOLAH DIPERKASA…. Polis IPD Meradong menjalankan lawatan pemantauan keselamatan di SMK Meradong, malam tadi. Foto IPD Meradong
BINTANGOR: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong mengambil langkah proaktif bagi memastikan keselamatan pelajar dan persekitaran sekolah melalui lawatan pemantauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meradong, malam tadi.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering, berkata lawatan dijalankan pada sekitar 9.30 malam oleh anggota polis IPD Meradong sebagai usaha meningkatkan tahap keselamatan di sekolah berasrama penuh tersebut.
“Lawatan yang diketuai oleh Sarjan Ibrahim Bale bersama Konstabel Faizal Suib ini bertujuan memastikan keselamatan dan ketenteraman kawasan sekolah berada pada tahap optimum.
“Tujuan utama lawatan ini adalah untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman sekolah berada pada tahap yang baik di samping meningkatkan kehadiran serta keterlihatan polis di kawasan institusi pendidikan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, kehadiran polis juga bertujuan memastikan kawasan sekolah bebas daripada sebarang ancaman jenayah, buli atau aktiviti tidak bermoral serta menjadi platform mengeratkan hubungan kerjasama antara polis dan komuniti sekolah.
“Pihak polis turut memberikan khidmat nasihat serta kesedaran kepada pelajar berkaitan pencegahan jenayah dan aspek keselamatan diri.
“Pemeriksaan keselamatan turut dijalankan bagi mengenal pasti kawasan berisiko untuk penambahbaikan pada masa akan datang,” katanya.
Tambahnya, lawatan berjalan lancar serta mendapat kerjasama baik daripada pihak sekolah.
“Usaha seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan suasana sekolah sentiasa aman, selamat dan kondusif untuk proses pembelajaran pelajar,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek