
TELANG USAN: Dua kawasan di daerah ini dilanda banjir berikutan hujan lebat yang berterusan sejak beberapa hari lalu, yang turut bertembung dengan fenomena limpahan air pasang laut.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Telang Usan yang juga Pegawai Pertahanan Awam Daerah Marudi, Leftenan (PA) Mirwan Shah Masri berkata, kawasan yang terjejas ialah Kampung Long Bemang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Long Bemang.
Menurut beliau, Kampung Long Bemang mempunyai sebanyak 103 pintu rumah yang dihuni seramai 548 penduduk. Ketinggian air di kawasan berkenaan dilaporkan mencecah 1.4 kaki.

Sementara itu, SK Long Bemang yang menempatkan seramai 103 murid dan guru turut dilanda banjir dengan paras air setinggi 2.5 kaki.
“Secara keseluruhan, jumlah mangsa yang terjejas di kedua-dua kawasan ialah seramai 678 orang,” katanya.
Mirwan turut memaklumkan bahawa paras air di kedua-dua kawasan berkenaan dilaporkan terus meningkat setakat ini.
Oleh Jiku Juguong