
Virgil van Dijk (dua dari kiri) menanduk masuk sepakan sudut Cody Gakpo. Foto AFP
FRANKFURT (Jerman): Liverpool menamatkan rentetan empat kekalahan dengan kemenangan besar 5-1 ke atas Eintracht Frankfurt dalam saingan Liga Juara-Juara awal pagi inj, dengan Hugo Ekitike menjaringkan gol untuk juara England itu menentang bekas kelabnya.
Selepas Ekitike menyamakan kedudukan untuk Liverpool, Virgil van Dijk, Ibrahima Konate, Cody Gakpo dan Dominik Szoboszlai masing-masing menjaringkan gol — dengan dua gol terakhir dibantu oleh Florian Wirtz yang kembali beraksi di tanah airnya, Jerman.
Liverpool turun ke padang dengan tekanan tinggi selepas mencatat empat kekalahan berturut-turut — rekod terburuk mereka dalam 73 tahun sejak musim 1953-54, ketika mereka tersingkir dari divisyen tertinggi bola sepak England.
“Kami ialah Liverpool — bila kami menang, kami tak akan meraikannya sepanjang malam, tetapi saya gembira kami berjaya menang,” kata pengurus Arne Slot kepada DAZN.
Slot membuat keputusan berani dengan merehatkan Mohamed Salah yang kurang menyerlah, namun Liverpool sekali lagi dibolosi terlebih dahulu buat kali kelima berturut-turut apabila Rasmus Kristensen menjaringkan gol menerusi serangan balas.
Namun, The Reds segera bangkit, menjaringkan tiga gol dalam tempoh 10 minit untuk mendahului 3-1 sebelum separuh masa pertama berakhir.
Wirtz, yang belum mencatat sebarang gol atau bantuan gol dalam Liga Perdana atau Liga Juara-Juara sejak perpindahannya ke Anfield, mencatat dua bantuan gol pada babak kedua — masing-masing untuk Gakpo dan Szoboszlai — bagi memastikan kemenangan bergaya.
Sementara Wirtz akhirnya membuka akaun sumbangan golnya, Alexander Isak sekali lagi tumpul dan digantikan pada separuh masa oleh Federico Chiesa.
“Kami tahu kualiti yang kami miliki dalam pasukan — semuanya pemain kelas dunia,” kata Wirtz kepada DAZN.
“Kami bermula dengan buruk, tetapi kami bangkit bersama dan mengubah permainan.”
“Saya boleh lakukan lebih baik lagi,” tambahnya, “tapi saya gembira kami menang dan akhirnya dapat buat bantuan gol.”
Kemenangan ini pastinya memberi suntikan keyakinan besar kepada Liverpool, namun pasukan Slot bakal berdepan ujian lebih besar selepas ini, memandangkan Frankfurt kini telah melepaskan 23 gol dalam enam perlawanan terakhir mereka.
Kebangkitan Liverpool
Pada minit ke-26, Nathaniel Brown merampas bola daripada Wirtz sebelum Frankfurt melancarkan serangan pantas, dengan Mario Götze menghantar bola kepada Kristensen yang kemudian melepaskan rembatan padu ke gawang.
Frankfurt hampir menambah gol kedua pada minit ke-35, tetapi Andy Robertson berjaya memintas bola dan melancarkan hantaran jauh tepat kepada Ekitike yang berlari dari tengah padang.
Bekas penyerang Frankfurt itu menyempurnakan peluang dengan tenang, menjaringkan gol ke bawah kawalan Michael Zetterer sebelum mengangkat tangan memohon maaf kepada penyokong tuan rumah.
Gol itu menyuntik semangat kepada Liverpool. Hanya empat minit kemudian, Van Dijk melonjak menewaskan penjaganya, Ansgar Knauff, untuk menanduk masuk sepakan sudut Gakpo.
Seminit sebelum rehat, Konate pula mengulangi kejayaan sama — juga menanduk masuk dari sepakan sudut — sekali lagi menewaskan Knauff di udara.
Wirtz yang agak gugup di awal perlawanan mula menunjukkan keyakinan apabila Liverpool menguasai permainan. Pada minit ke-66, dia menghantar bola lintang sempurna untuk Gakpo menjaringkan gol keempat.
Szoboszlai kemudian melengkapkan pesta gol dengan rembatan deras dari jarak jauh selepas menerima hantaran daripada Wirtz pada baki 20 minit terakhir.
“Kami bermula dengan baik dan mendahului, tetapi di tahap ini anda perlu kekal fokus selama 90 minit. Ia menyakitkan,” kata Götze, pemenang Piala Dunia 2014. – AFP