
MIRI: Hobi memainkan peranan penting dalam membentuk kreativiti, disiplin dan semangat komuniti yang sihat dalam kalangan kanak-kanak serta belia.
Menurut Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin, hobi bukan sekadar aktiviti mengumpul barangan koleksi, sebaliknya merupakan platform untuk memupuk nilai-nilai positif seperti kesabaran, kerjasama dan daya imaginasi dalam kalangan peminat dari pelbagai peringkat umur.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program MYY Hobbies & Collection Fest 5.0 yang berlangsung di sini semalam.
“Minat terhadap hobi dan koleksi seperti Transformers, Digimon, Hot Wheels dan pelbagai figura lain bukan sahaja membantu anak-anak mengurangkan kebergantungan terhadap gajet atau telefon bimbit, malah membentuk tabiat yang sihat dan positif,” ujarnya.
Tambah beliau, bimbingan ibu bapa juga amat penting dalam menyemai minat tersebut, seterusnya membuka peluang untuk menjadikan hobi sebagai sumber pendapatan atau kerjaya pada masa depan.
Dato Sri Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin turut menyarankan agar lebih banyak program seumpamanya dianjurkan bagi memperkukuh hubungan komuniti serta menjadikan Miri sebagai hab aktiviti kreatif dan rekreasi di Sarawak.
Program dua hari anjuran Persatuan Usahawan Muda Sarawak (SYEA) Miri itu berjaya menarik lebih 500 pengunjung, dan menghimpunkan pengumpul serta penjual yang mempamerkan pelbagai koleksi model dan figura.
Oleh Adum Liu