Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • ‘Malam Untukmu Gaza’ kumpul dana bantu rakyat Palestin
  • NASIONAL

‘Malam Untukmu Gaza’ kumpul dana bantu rakyat Palestin

Utusan Sarawak 14 hours ago
DUA beradik aktivis kemanusiaan, Datin Heliza Helmi (dua, kanan), Hazwani Helmi (kanan) dan Pengerusi Eksekutif KESS Mohamad Hafizal Mahmood (tengah) ketika gimik perasmian pada sidang media sempena program amal ‘Malam Untukmu Gaza’ di Saloma Bistro semalam. Program anjuran KESS ini akan berlangsung di pekarangan Kedai Emas Sri Semantan (KESS), Jengka, Pahang pada 24 Okt ini. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Dua beradik selebriti, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi, yang juga peserta Global Sumud Flotilla (GSF), bakal berkongsi pengalaman mereka menyertai misi kemanusiaan ke Gaza menerusi program amal ‘Malam Untukmu Gaza’ di perkarangan Kedai Emas Sri Semantan (KESS), Jengka, Pahang pada 24 Oktober ini.

Program amal itu yang turut diisi dengan solat hajat, qasidah dan persembahan kerohanian, diadakan bagi mengumpul dana untuk membantu meringankan penderitaan rakyat Gaza yang terus menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.

DUA beradik aktivis kemanusiaan, Datin Heliza Helmi (kanan) dan Hazwani Helmi (kiri) bergambar selepas sidang media sempena program amal ‘Malam Untukmu Gaza’ di Saloma Bistro semalam. Program anjuran KESS ini akan berlangsung di pekarangan Kedai Emas Sri Semantan (KESS), Jengka, Pahang pada 24 Oktober ini. Foto BERNAMA

Heliza atau nama sebenarnya Nur Heliza Helmi, 39, berkata pengalaman menyertai misi kemanusiaan ke Gaza meninggalkan kesan mendalam terhadap kekuatan spiritual dan semangat perjuangan rakyat Palestin.

“Kalau rasa penat (berdakwah), saya teringat kata-kata rakyat Palestin yang menyatakan dunia ini tempat berpenat, akhirat tempat berehat. Mereka tidak pernah rehat dalam hidup yang sentiasa diuji, jadi kita juga perlu terus berjuang mengikut kemampuan masing-masing,” katanya dalam sidang media program amal itu baru-baru ini.

Beliau berkata semangat rakyat Palestin yang kekal kuat meskipun kehilangan keluarga dan tempat tinggal menjadi inspirasi kepada mereka untuk terus menyuarakan isu kemanusiaan di pelbagai peringkat.

“Perjuangan ini bukan hanya di medan perang, ia juga melalui doa, tindakan, penulisan, muzik dan cara kita menyentuh hati manusia. Apapun latar kita, semua boleh memainkan peranan walau sekecil mana pun,” katanya yang menganggap platform media sosial kini medan baharu membina kesedaran dalam kalangan generasi muda.

Sementara itu, adiknya Hazwani atau nama sebenarnya Nur Hazwani Helmi, 28, berkata pengalaman tersebut membuka matanya akan realiti sebenar kehidupan rakyat Palestin, sekali gus memberikan beliau kesedaran mendalam tentang makna ketabahan.

“Ramai lihat kami ceria, tapi sebenarnya selepas pulang daripada misi, barulah emosi itu terasa. Pengalaman pertama kami ke Gaza pada 2012, kami lihat sendiri bapa yang kehilangan anak tetap mampu senyum dan berkata dia bangga anaknya mati syahid.

DUA beradik aktivis kemanusiaan, Datin Heliza Helmi (tengah), Hazwani Helmi (dua, kanan) dan Pengerusi Eksekutif KESS Mohamad Hafizal Mahmood (dua, kiri) bergambar selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) ketika sidang media sempena program amal ‘Malam Untukmu Gaza’ di Saloma Bistro semalam. Program anjuran KESS ini akan berlangsung di pekarangan Kedai Emas Sri Semantan (KESS), Jengka, Pahang pada 24 Okt ini. Foto BERNAMA

“Dari situ saya belajar, kekuatan sebenar datang daripada iman dan keyakinan, dan itulah yang menjadi semangat untuk kami teruskan perjuangan walaupun sudah kembali ke tanah air,” katanya.

Beliau berkata pengalaman ditahan selama beberapa hari oleh tentera Israel turut menjadi peringatan tentang betapa kuatnya rakyat Palestin menghadapi tekanan dan penindasan.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Salam Malaysia (CSM) Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman menzahirkan penghargaan kepada KESS atas penganjuran ‘Malam Untukmu Gaza’ yang disifatkannya sebagai usaha murni dalam menggerakkan kesedaran dan solidariti masyarakat terhadap Palestin.

Beliau berkata inisiatif berkenaan memperlihatkan bagaimana isu Gaza kini mampu menembusi pelbagai lapisan masyarakat dan terus menjadi perbualan global.

“Kita mungkin belum mampu ‘break the siege’, tetapi kita sudah berjaya ‘break the silence’. Itu satu kemenangan besar yang menyentuh jiwa,” katanya yang bakal mendokumentasikan pengalamannya dalam e-buku ‘Neraka Ketziot’ untuk diterbitkan di laman Facebook rasminya dalam masa terdekat.

PENGASAS pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cinta Salam Malaysia dan CEO, Ahmad Musa Al-Nuwayri (dua, kanan) dan Pengerusi Eksekutif KESS Mohamad Hafizal Mahmood (dua, kiri) bergambar selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) ketika sidang media sempena program amal ‘Malam Untukmu Gaza’ di Saloma Bistro semalam. Program anjuran KESS ini akan berlangsung di pekarangan Kedai Emas Sri Semantan (KESS), Jengka, Pahang pada 24 Okt ini. Foto BERNAMA

Acara bertemakan “Kilauan Semantan, Harapan Gaza” itu dianjurkan oleh KESS dengan kerjasama Soorga Emas Preloved dan turut menampilkan barisan artis lain seperti Dr Sam Rasputin, kumpulan nasyid Raihan dan Mawi, yang bakal memeriahkan malam amal berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif KESS Mohamad Hafizal Mahmood berkata penganjuran program tersebut mencerminkan keprihatinan syarikat akan isu kemanusiaan sejagat serta komitmen terhadap tanggungjawab sosial korporat dalam membantu saudara seagama yang ditindas.

Bersempena dengan acara berkenaan, KESS turut memperkenalkan syiling emas khas edisi “Untukmu Gaza” yang menampilkan The Helmis sebagai figura utama dengan sebahagian hasil jualan akan disalurkan kepada rakyat Gaza melalui CSM.

“Program ini bukan sekadar majlis hiburan atau pelancaran produk, tetapi platform menyemai rasa cinta dan empati terhadap perjuangan rakyat Palestin,” katanya.- Bernama

Continue Reading

Previous: Ibubapa benteng utama bentuk peribadi, nilai sosial anak – Nancy
Next: Kos, kadar bayaran haji kekal tahun depan – TH

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.