KUALA LUMPUR: Neksus Produktiviti Agro-Makanan (AFPN) yang disokong sepenuhnya oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan kerjasama Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman mengadakan prapelancaran Agrolink Malaysia Information Toolbox secara maya.
Ia merupakan pusat sehenti digital untuk membantu perniagaan pertanian mengakses maklumat dan menyediakan bantuan dari segi pembangunan produktiviti dan membina kesalinghubungan dalam rantaian bekalan agro-makanan.
Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman dalam kenyataan hari ini berkata: “Data tidak hanya meningkatkan pengetahuan kita dan membuka peluang baharu, tetapi turut memperluaskan sumber agar keupayaan dapat dimanfaatkan bagi mempertingkatkan pencapaian sedia ada.”
Pandemik COVID-19 membuktikan subsektor agro-makanan di negara ini terjejas dan memerlukan penglibatan segera dalam kalangan pihak yang terlibat.
Walaupun rantaian bekalan agro-makanan terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan, permintaan terhadapnya terus meningkat.
Beliau berkata, untuk memudahkan tindakan pemulihan ini, sistem penyebaran maklumat yang holistik dan tepat merangkumi keseluruhan rantaian ekosistem pertanian sedia ada yang kukuh, diperlukan untuk menyokong dan mengekalkan pertumbuhan pada masa depan.
“Portal maklumat secara dalam talian ini menyediakan data yang telus kepada seluruh rakyat Malaysia. Contoh utama bagaimana aspirasi Pelan Tindakan Produktiviti Malaysia ini direalisasikan adalah dengan menangani cabaran teknologi dan pendigitalan menerusi kerjasama di antara agensi kerajaan, akademia dan pemain industri,” katanya. – Bernama