
SIBU: Padah membuat aksi mengangkat tayar hadapan ‘wheelie’ seorang remaja lelaki ditahan dalam operasi bersepadu di sekitar kawasan Jalan Bujang Suntong dan Jalan Awang Ramli Amit, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, remaja lelaki tempatan berumur 16 tahun ditahan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana didapati telah memandu secara melulu yang boleh membahayakan diri sendiri mahupun pengguna jalan raya yang lain.
“Dalam operasi selama tiga jam berakhir 12.00 tengah malam itu, sebanyak 43 kenderaan telah diperiksa dan sebanyak 28 motosikal telah ditahan di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana keadaan motosikal yang telah diubah suai struktur asal dan juga untuk tujuan pemeriksaan selanjutnya.
“Dalam operasi ini juga, pihak polis telah mengeluarkan sebanyak 128 keping saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas seperti ubahsuai ekzos, tiada lesen memandu, ubah suai kenderaan, tiada nombor pendaftaran dan pelbagai lagi kesalahan lalu lintas yang lain,” jelasnya menerusi kenyataan media, hari ini.
Katanya, operasi dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu.
“Operasi sebegini akan dijalankan secara berterusan dari masa ke semasa ke atas pengguna jalan
raya, terutamanya penunggang motorsikal bagi mencegah aktiviti samseng jalanan.
“Masyarakat juga dinasihatkan agar sentiasa memandu dan menunggang kenderaan dengan
berhemah, berhati-hati di jalan raya, tidak terlibat dalam aktiviti samseng jalanan dan tidak
mengubahsuai struktur kenderaan dengan bunyi bising yang boleh mengganggu ketenteraman awam,” kata beliau.
Oleh Akun Giman