
BETONG: Majlis penyerahan tapak bagi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di Rumah Charles Merupi Ferdinand Kanyan, Tansang telah berlangsung hari ini, menandakan pelaksanaan rasmi projek yang dikendalikan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Betong.
Majlis tersebut turut disertai oleh wakil Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Pegawai Tadbir Unit Perancangan dan Perlaksanaan Projek, Pejabat Residen Bahagian Betong serta pihak kontraktor, sebelum tapak diserahkan secara rasmi kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Panjang Charles Merupi Ferdinand Kanyan.
Projek RTP berkenaan melibatkan kerja-kerja merata tapak sebagai langkah awal bagi pembinaan rumah panjang baharu, inisiatif penting ke arah menyediakan penempatan yang lebih selesa, kukuh dan selamat untuk penduduk.

Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata pelaksanaan projek itu menunjukkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh pembangunan luar bandar demi kesejahteraan rakyat.
“Projek seperti ini bukan sekadar membangunkan infrastruktur fizikal, tetapi juga meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar melalui kemudahan yang lebih baik dan selamat,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas kerjasama dan komitmen dalam memastikan projek RTP di kawasan Betong terus berjalan dengan lancar dan memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat.
Oleh Adi Safarman