
PETRA JAYA: Sebuah bilik sewa di tingkat atas sebuah kedai 7-Eleven di Bandar Baru Semariang terbakar sekitar 30 peratus dalam kejadian yang berlaku malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya menerima panggilan kecemasan pada 8.51 malam.
Pasukan diketuai PBK I Pandi Seh bergegas ke lokasi dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah bilik berkeluasan 10×10 kaki persegi yang disewa di tingkat atas premis tersebut.
“Kebakaran memusnahkan sekitar 30 peratus bilik berkenaan, termasuk perabot dan barangan peribadi penyewa.
“Tiada mangsa terlibat,” katanya dalam kenyataan, baru-baru ini.
Tambahnya, kebakaran berjaya dipadamkan oleh orang awam menggunakan air paip sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.
Tiada operasi pemadaman dijalankan dan selepas memastikan keadaan selamat serta tiada lagi punca api, pasukan bomba bertolak balik ke balai.
Oleh Amanda L