
POMEZIA, Itali: Letupan bom memusnahkan kenderaan milik wartawan terkenal Itali, Sigfrido Ranucci, pada waktu malam, namun tiada kematian dilaporkan, menurut rancangan berita penyiasatan yang dikendalikannya hari ini.
Kejadian berlaku di Pomezia, berhampiran Rome, turut menyebabkan kerosakan pada kenderaan keluarga lain serta rumah jiran, menurut rancangan Report yang disiarkan di saluran awam RAI.
“Kekuatan letupan itu sangat dahsyat sehingga boleh membunuh sesiapa sahaja yang kebetulan berada di situ,” menurut kenyataan rancangan itu di platform X.

Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, mengecam keras kejadian tersebut, menyifatkannya sebagai satu bentuk ugutan serius terhadap kebebasan media.
“Kebebasan dan kebergantungan maklumat adalah nilai demokrasi yang tidak boleh dikompromi, dan kami akan terus mempertahankannya,” katanya di X.
Menteri Dalam Negeri, Matteo Piantedosi, berkata beliau telah mengarahkan kawalan keselamatan terhadap Ranucci dipertingkatkan ke tahap maksimum.
Menurut Reporters Without Borders (RSF), Itali kini berada di kedudukan ke-49 dunia dari segi kebebasan media.
“Wartawan yang menyiasat jenayah terancang dan rasuah sering menerima ugutan dan kadangkala menjadi mangsa keganasan fizikal,” menurut kemas kini terbaharu RSF.
Tambahnya, sekitar 20 wartawan di Itali kini hidup di bawah perlindungan polis sepenuh masa selepas menjadi sasaran ugutan dan serangan.
– AFP