
SARATOK: Tindakan pantas pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok berjaya menyelamatkan lebih 160 penduduk Rumah Ason, Tembawai Kapok, serta warga Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Atoi, Awik, selepas kawasan berkenaan dilanda banjir pagi tadi.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, panggilan kecemasan diterima pada 11.09 pagi, sebelum pasukan dengan kekuatan tiga anggota diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Shahrunizam Abdullah bergegas ke lokasi sejauh 12 kilometer (km).

Pasukan tiba pada 11.22 pagi dan segera menjalankan operasi pemantauan serta bantuan pemindahan mangsa.
Hasil tinjauan mendapati 21 pintu rumah panjang yang menempatkan 164 penghuni terjejas akibat banjir, namun kesemua mangsa berjaya dibawa ke tempat selamat.
Sementara itu, di SK Nanga Atoi, seramai 15 guru, 82 murid, enam staf pentadbiran serta enam pekerja sokongan dan pengawal keselamatan turut diarahkan berpindah ekoran paras air yang mula memasuki
kawasan sekolah.

Operasi dikawal sepenuhnya pada 12.10 tengah hari dan tamat sekitar 12.23 tengah hari. Tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan.
JBPM Sarawak menasihatkan penduduk kawasan rendah dan berhampiran sungai agar berwaspada serta mengikuti arahan pihak berkuasa sekiranya hujan berterusan.
Oleh Adi Safarman