
SIBU: Seramai 11 pelajar daripada program Sijil Pengembaraan Pelancongan (SPL) Kolej Komuniti Sarikei Cawangan Sibu (KKSRCS) menyertai Lawatan Akademik Industri ke Andalusia Travel dan Tours Cawangan Sibu, semalam.
Menurut kenyataan KKSRCS, lawatan tersebut bertujuan memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar mengenai operasi sebenar agensi pelancongan, khususnya dalam segmen umrah dan haji.
Pegawai Agama Andalusia Cawangan Sibu, Ustaz Mohammad Solehin Hanafi, menyampaikan taklimat industri yang merangkumi pengenalan tentang Andalusia Travel dan Tours serta pakej perkhidmatan yang ditawarkan oleh agensi tersebut.
Sesi turut menyentuh trend semasa dalam industri pelancongan di Sibu serta cabaran yang dihadapi oleh penggiat sektor itu.
Kemuncak program ialah sesi amali pembangunan pakej pelancongan, yang memberi peluang kepada pelajar untuk memahami secara praktikal proses perancangan dan penetapan harga dalam industri sebenar.

Seorang pelajar semester akhir SPL, Dayang Nor Asnita Awang Saberan berkata pengalaman itu memberikan keyakinan dan pemahaman yang lebih mendalam tentang bidang pengajian mereka.
“Pendedahan ini sangat membuka mata kami, terutama tentang bagaimana agensi besar seperti Andalusia mengendalikan segmen pasaran sensitif seperti umrah dan haji.
“Sesi amali membina pakej pula memberi gambaran jelas tentang aplikasi teori yang kami pelajari. Saya rasa lebih bersedia untuk menjalani latihan industri nanti,” katanya.
Lawatan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha KKSRCS memperkaya pengalaman pembelajaran pelajar SPL, dengan menekankan keseimbangan antara teori dan amalan bagi melahirkan graduan yang kompeten dan berdaya saing.
Sementara itu, KKSRCS kini membuka permohonan kemasukan Program Sijil Pengembaraan Pelancongan (SPL) bagi Sesi Akademik II 2025/2026 melalui portal ambilan POLYCC di https://ambilan.mypolycc.edu.my mulai 25 September hingga Sabtu depan.
Program berasaskan 100 peratus pembiayaan institusi awam itu hanya mengenakan yuran RM200 setiap semester, dengan syarat kemasukan minimum Lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) termasuk bahasa Melayu dan Sejarah serta sekurang-kurangnya satu kredit dalam mana-mana mata pelajaran.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mengikuti saluran Telegram rasmi KKSRCS di https://t.me/+o03mlZbsqT81MmU1.
Oleh Tarani Lanting