
SARATOK: Gelanggang Gasing Kenyalang di Kampung Tanjung Hulu Saratok bakal menerima sentuhan naik taraf menerusi Projek Mesra Rakyat, sebagai usaha mengangkat semula permainan tradisional dan menyediakan kemudahan yang lebih selesa kepada komuniti setempat.
Lawatan tapak bagi penyediaan Dokumen Senarai Kuantiti (BQ) telah dilakukan oleh Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri.

Antara cadangan utama dalam projek ini termasuk pembinaan kemudahan tandas dan penambahbaikan infrastruktur di sekitar gelanggang bagi memastikan keselesaan pengunjung serta keselamatan pemain gasing.
Menurut Mohamad Duri, projek ini bukan sekadar pembangunan fizikal, tetapi juga usaha melestarikan warisan budaya dan sukan tradisi yang menjadi identiti masyarakat Sarawak, khususnya di Saratok.
“Kerajaan komited memastikan permainan tradisional seperti gasing terus hidup dan diwarisi generasi muda dengan menyediakan prasarana yang lebih baik,” katanya.


KAUNSELOR Kasdi Pandi yang mewakili ADUN Kalaka melakuian lawatan naik taraf Gelanggang Gasing Kenyalang di Kampung Tanjung Hulu Saratok, semalam. Foto: Pusat Khidmat ADUN Kalaka
Dengan pelaksanaan projek ini, gelanggang gasing Kampung Tanjung Hulu dijangka menjadi pusat tumpuan aktiviti komuniti dan lokasi penganjuran pertandingan gasing pada masa hadapan, sekali gus memperkukuh warisan tradisional dalam pembangunan komuniti moden.
Inisiatif ini katanya turut memperlihatkan keprihatinan kerajaan terhadap masyarakat luar bandar agar tidak terpinggir dalam arus pembangunan, terutamanya dari segi kemudahan sukan dan rekreasi.
Oleh Adi Safarman