SARATOK: Sarawak menjadi contoh terbaik semangat perpaduan dan keharmonian di negara ini walaupun didiami masyarakat pelbagai kaum dan agama.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Datuk Abdul Wahab Aziz mengajak rakyat di negeri ini terus bersatu demi kemajuan dan kemakmuran bersama.
“Kekuatan perpaduan dalam kalalangan penduduk berbilang kaum di negeri ini mesti dikekalkan dan tidak boleh diketepikan begitu sahaja.
“Kita bersyukur kerana dapat hidup bersama dengan aman meskipun berbeza budaya, bangsa dan agama,” katanya ketika merasmikan Program Berbasikal (Merdeka Ride) Sempena Hari Kebangsaan 2020 bertempat di Padang MDS semalam.
Abdul Wahab berkata rakyat juga harus bekerja keras untuk memastikan keamanan dan keharmonian sedia ada terpelihara.
“Pada masa sama, kita memastikan generasi muda turut mengamalkan dan mengetahui pentingnya perpaduan antara kaum di negeri ini.
“Budaya bersatu padu penting untuk hidup dalam suasana harmoni ini. Tiada makna jika tiada persefahaman dan toleransi dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.
Beliau berkata perpaduan tidak boleh diletakkan di tempat kedua, tetapi ia adalah keutamaan semua demi faedah dan manfaat generasi pada masa depan.
“Sarawak benar-benar sebuah negeri contoh di negara ini kerana rakyat Sarawak saling hormat-menghormati agama, kebudayaan, adat resam serta kepercayaan rakan-rakan kita dan inilah yang menyumbangkan kepada keutuhan perpaduan kaum di Sarawak.
“Perpaduan itu telah wujud sejak sekian lama di sebalik perbezaan, kaum, agama dan kepercayaan serta adat resam,” tegasnya.
Sehubungan itu, Abdul Wahab menggesa rakyat negara ini tidak menjadikan agama sebagai bahan untuk berpolitik.
“Apabila agama dijadikan bahan berpolitik, ia akan menimbulkan kebencian dalam kalangan rakyat,” katanya.
Dalam Program Berbasikal (Merdeka Ride) Sempena Hari Kebangsaan 2020 itu telah disertai seramai 123 orang peserta.
Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Saratok, Kaunselor Mohamad Duri.
Oleh Adi Safarman