
BINTULU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berharap kerja pembinaan jejambat Medan Jaya di sini disiapkan segera demi keselesaan dan keselamatan penduduk setempat.
Menurutnya, projek berkenaan yang bermula sejak 2021 telah tertangguh terlalu lama dan memberi kesan kepada penduduk di kawasan itu.
“Projek ini telah lama tertangguh dan saya memahami sentimen rakyat di kawasan ini.
“Jadi, kami sentiasa berkoordinasi dengan kontraktor serta agensi pelaksana, Jabatan Kerja Raya (JKR) Bintulu bagi memastikan projek dapat diteruskan dan disiapkan secepat mungkin.
“Setakat ini, kemajuan projek telah mencapai sekitar 58 peratus dan saya berharap kerja dapat dipercepatkan sekali gus disiapkan mengikut jadual baharu yang ditetapkan oleh JKR,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau perkembangan projek bersama Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Pemantauan Projek dan Program Luar Bandar), Dato Sri Rohani Abdul Karim dan wakil JKR Sarawak di tapak pembinaan di sini, hari ini.
Johnny Pang berkata, antara punca kelewatan projek adalah kerja pemindahan utiliti termasuk kabel Telekom Malaysia (TM) yang kini hampir selesai sepenuhnya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan pihak kontraktor supaya mempertingkatkan aspek keselamatan di tapak pembinaan, khususnya pada waktu malam, susulan beberapa kemalangan yang pernah berlaku di kawasan tersebut.
“Kita mahu kontraktor lebih peka terhadap keselamatan pengguna jalan raya.
“Penduduk juga diminta berhati-hati dan memberi kerjasama supaya projek ini dapat disiapkan dengan cepat dan selamat,” ujarnya.
Oleh Carolyne Utih