SIMANGGANG: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengajak rakyat Sarawak supaya mengambil iktibar daripada kemelut politik yang pernah berlaku di Semenanjung Malaysia.
Menurut beliau, kemelut politik itu menyaksikan kemunculan beberapa parti baharu di negara ini sehingga ia mendatangkan impak negatif terhadap rakyat di Semenanjung Malaysia.
“Apabila bertelagah sesama sendiri, salah satu pihak akan mengumum keluar parti dan seterusnya menubuh parti baharu seperti yang pernah kita dengarkan.
“Sekarang ini pun sudah muncul parti baharu. Politik ‘buka parti’ seperti ini akhirnya memakan diri mereka sendiri dengan rakyat terpaksa menanggung kesan susulan perbuatan tersebut sehingga sekarang,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di sini semalam.
Ketua Menteri berkata rakyat perlu mempertahankan Gabungan Parti Sarawak (GPS) demi kesejahteraan pembangunan negeri ini.
“Sebab itulah komponen-komponen parti politik utama di negeri ini keluar daripada pakatan Barisan Nasional (BN) supaya kita mampu menjaga Sarawak dengan lebih baik demi kepentingan rakyat,” kata beliau.
Abang Johari turut menegaskan Kerajaan Sarawak tidak sesekali merampas tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang dimiliki oleh rakyat.
Sebaliknya Kerajaan Sarawak melakukan sukatan perimeter secara percuma kepada pemilik tanah NCR bagi mengiktiraf pemilikan mereka terhadap tanah tersebut, katanya.
“Bagaimanapun terdapat pihak tertentu yang sengaja mewar-warkan kepada rakyat, Kerajaan Sarawak mahu merampas tanah mereka menerusi kerja sukatan perimeter berkenaan.
“Ini adalah hasutan jahat. Justeru saya meminta pihak-pihak tersebut agar berhenti berbuat demikian bagi menghormati kehendak rakyat yang mahu tanah NCR milik mereka disukat,” kata beliau.
Terdahulu seramai 42 Ketua Kaum dan tujuh Ketua Masyarakat dari kawasan Bahagian Sri Aman menerima sijil watikah pelantikan masing-masing daripada Abang Johari.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Utiliti, Dato’ Sri Dr Stephen Rundi Utom dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion.
Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis, Menteri Muda Pembangunan dan Perindustrian, Datuk Malcom Mussen Lamoh, Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan, Ahli Parlimen Batang Lupar, Dato Sri Rohani Karim, Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang dan Residen Sri Aman, Indit Bangai juga hadir pada majlis itu.