Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Kelayakan Piala Asia 2027: Malaysia lebar rekod tanpa kalah, belasah Laos 5-1
  • SUKAN

Kelayakan Piala Asia 2027: Malaysia lebar rekod tanpa kalah, belasah Laos 5-1

Utusan Sarawak 6 days ago
KETUA Jurulatih pasukan Malaysia Peter Cklamovski pada perlawanan Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di antara Malaysia menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. Keputusan penuh Malaysia mengatasi pasukan Laos dengan 5-1. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Malaysia menampilkan kebangkitan bergaya pada separuh masa kedua untuk mencatat kemenangan 5-1 ke atas Laos pada perlawanan keempat Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, malam ini.

Aksi separuh masa pertama menyaksikan skuad Harimau Malaya menguasai sebahagian besar permainan, namun ketumpulan penyudah serta ketangkasan penjaga gol Laos, Kop Lokphathip menafikan beberapa peluang keemasan tuan rumah.

Pada minit kelima, percubaan jarak dekat penyerang Romel Morales ditepis keluar oleh Lokphathip, diikuti rembatan deras kapten Dion Cools dari luar kotak penalti pada minit ke-12 yang turut dinafikan.

Laos mengejutkan pasukan negara kendalian Peter Cklamovski pada minit ke-20 apabila mendahului menerusi rembatan kencang Chanthavixay Khounthoumphone dari luar kotak penalti yang terkena kepala Shahrul Saad sebelum bola menerjah jaring menewaskan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Ia merupakan kali pertama Malaysia dibolosi dalam kempen kali ini.

Lokphathip sekali lagi beraksi cemerlang apabila menafikan tandukan dari jarak dekat Corbin Ong pada minit ke-27, sebelum percubaan Morales pada minit ke-39 tersasar ke kanan gawang.

Memasuki babak kedua, Malaysia tampil lebih bertenaga sebelum episod kebangkitan bermula dengan gol penyamaan menerusi sepakan percuma pemain sayap Mohamad Faisal Abdul Halim pada minit ke-59.

Morales menjadikan kedudukan 2-1 apabila menyempurnakan gerakan satu-dua bersama Arif Aiman Mohd Hanapi pada minit ke-65, sebelum menyempurnakan gol ketiga hasil hantaran Cools, enam minit kemudian.

Malaysia melebarkan kedudukan selepas pemain pertahanan Laos, Khammanh Thapaseut tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-79 sebelum penyerang gantian Paulo Josue melengkapkan pesta jaringan Harimau Malaya dengan gol kelima pada minit ke-82.

Kemenangan ke atas Laos menyaksikan pasukan negara mengekalkan rekod tanpa kalah selepas empat perlawanan untuk mendahului Kumpulan F dengan mengumpul 12 mata, diikuti Vietnam di tempat kedua (sembilan mata), Laos ketiga (tiga mata) dan Nepal tercorot tanpa sebarang mata.

Selepas ini, Malaysia dijadual berdepan Nepal pada 18 Nov dan akan menamatkan saingan kumpulan menentang Vietnam di Hanoi pada Mac tahun depan.

-BERNAMA

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Malaysia bangkit benam Laos 5-1
Next: England sah layak ke Piala Dunia 2026, Portugal terpaksa menunggu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.