
SIMANGGANG: Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Sri Aman komited mempergiatkan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi kerajaan di Bahagian Sri Aman bagi merancang dan melaksanakan inisiatif pembangunan usahawan yang lebih menyeluruh.
Komitmen itu dizahirkan menerusi Mesyuarat Pertama Jawatankuasa DUBS Sri Aman Sesi 2025–2028 yang berlangsung di Tandang Sari Avenue, di sini, hari ini.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Pengerusi DUBS Sri Aman, Abdillah Majid dan turut dihadiri oleh Timbalan Pengerusi, Gerald Empaling Donald, Naib Pengerusi, Awangku Hafizi Awang Azahari serta barisan Ahli Jawatankuasa lain.
Menurut Abdillah, DUBS Sri Aman akan terus menjadi rakan strategik utama kerajaan negeri mahupun Persekutuan dalam memperkasa komuniti usahawan tempatan, khususnya di luar bandar.
“DUBS Sri Aman akan terus bergerak seiring dengan aspirasi kerajaan negeri dalam memperkasa komuniti usahawan tempatan, khususnya di luar bandar,” katanya.
Beliau menambah, kerjasama dengan agensi kerajaan di peringkat bahagian amat penting bagi memastikan pelaksanaan program keusahawanan dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan memberi impak yang luas.

“Kita akan memperkukuh jalinan dengan agensi-agensi Kerajaan negeri dan Persekutuan bagi memperkasa ekosistem keusahawanan di Sri Aman,” ujarnya.
Selain memperkukuh rangkaian strategik, DUBS Sri Aman juga akan menumpukan kepada usaha memperkenalkan program latihan, pendedahan pasaran, dan bantuan pemasaran produk bagi membantu usahawan tempatan meningkatkan daya saing.
“Kita mahu memastikan produk-produk tempatan hasil tangan usahawan Sri Aman dapat menembusi pasaran yang lebih luas, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan dan negeri,” jelasnya.
Dalam mesyuarat berkenaan, Abdillah turut membentangkan hala tuju dan perancangan program sesi baharu yang memberi tumpuan kepada pengukuhan penyertaan usahawan bumiputera serta pembangunan potensi generasi muda dan wanita dalam bidang keusahawanan.
Mesyuarat turut menjadi platform memperkukuh semangat kerjasama dalam kalangan ahli untuk menjayakan agenda pembangunan ekonomi bumiputera di Sri Aman, seiring aspirasi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menjadikan Sarawak sebuah negeri maju menjelang 2030.
Barisan kepimpinan DUBS Sri Aman bagi Sesi 2025–2028 terdiri daripada Pengerusi, Abdillah Majid, Timbalan Pengerusi, Gerald Empaling Donald, Naib Pengerusi, Awangku Hafizi Awang Azahari, Setiausaha, Abdillah Ahmad, Penolong Setiausaha, Sham Ahmad, Bendahari, Chelsea Tari, Ketua Dewan Muda, Jimmy Melintang Donald, Ketua Dewanita, Nur Izzati Zalaluddin dan Ketua Penerangan, Mimi Ismarwaty Ismail.
Ahli Jawatankuasa (Pemilihan) pula terdiri daripada Subhi Ahmad, Awangku Hafizul Awang Azahari, Jessica Maragi, Majzelan Abdillah, dan Man Kasim, manakala AJK (Lantikan) ialah Betie Jalak dan Steve Ingok.
Oleh Adi Safarman