BEIJING: Jumlah kematian dalam kejadian runtuhan sebuah restoran dua tingkat di utara China meningkat kepada 29 orang, menurut agensi berita rasmi, Xinhua pada Ahad
Bangunan dua tingkat di daerah Xiangfen, wilayah Shanxi, runtuh pada pagi Sabtu ketika majlis sambutan hari lahir ke-80.
Seramai 57 mangsa dikeluarkan daripada runtuhan dengan puluhan cedera dengan tujuh daripadanya parah.
Stesen penyiar negara, CGTN mengatakan operasi menyelamat berakhir pada awal pagi Ahad.
Punca masih belum diketahui dan Dewan Negara memberi jaminan siasatan akan dijalankan pihak berkuasa wilayah.
Tujuh ratus anggota penyelamat terbabit dalam operasi berkenaan, kata CGTN.
China tidak asing dengan insiden runtuhan bangunan atau kemalangan pembinaan yang meragut nyawa.
Sebuah hotel runtuh di bandar Quanzhou di selatan China pada Mac mengorbankan 29 orang dan mencederakan 42 yang lain.
Siasatan rasmi dalam insiden itu mendapati tiga tingkat ditambahkan secara tidak sah pada struktur empat tingkat yang asli, dan penilai keselamatan bersubahat dengan pemilik hotel untuk membuat laporan palsu mengenai bangunan itu, kata penyiar CCTV. – AFP