KUALA LUMPUR: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif akan didagangkan dalam jajaran kecil berikutam jangkaan berlakunya pembetulan pada minggu ini.
Peniaga Minyak Sawit Kanan Interband Group of Companies, Jim teh berkata, harga sebelum ini telah didorong kepada titik semasa yang dianggap wajar untuk menerima pembetulan.
“Harga MSM akan didagangkan di antara RM2,600 dan RM2,700 minggu hadapan,” katanya kepada Bernama pada 29 Ogos 2020.
Menurut seorang peniaga lain, minyak sawit telah dijejaskan oleh pergerakan harga dalam minyak saingan ketika kedua-dua bahan itu bersaing bagi menguasai pasaran minyak sayuran global.
Sementara itu, CGS CIMB dalam satu nota berkata, minyak sawit meneruskan keuntungan atas jangkaan bahawa kenaikan selama lima hari dalam minyak kacang soya akan memaksa pembeli untuk beralih kepada minyak tropika itu.
Niaga hadapan minyak sawit melonjak 1.3 peratus selepas menokok 1.2 peratus pada Rabu lepas.
Minyak makan tersebut mencatatkan keuntungan hampir 17 peratus dalam suku semasa dengan jangkaan pemulihan dalam pembelian oleh pembeli utama termasuk kebimbangan jika berlaku rencatan dalam pengeluaran.
“Pasaran minyak sawit menjejaki pengukuhan minyak kacang soya yang didorong oleh permintaan China dan hasil kejatuhan pengeluaran kacang soya Amerika Syarikat berikutan cuaca kering,” katanya.
Untuk minggu yang baru berakhir, kontrak niaga hadapan MSM didagangkan lebih tinggi kecuali pada hari Jumaat, mengambil petunjuk daripada harga minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago, Pertukaran Komoditi Dalian dan pergerakan ringgit berbanding dolar US.
Dari Jumaat ke Jumaat, kontrak niaga hadapan MSM bagi September 2020 meningkat RM47 kepada RM2,845 setan, Oktober 2020 menambah RM58 kepada RM2,779 setan, November 2020 menokok RM57 kepada RM2,738 setan dan Disember 2020 naik RM56 kepada RM2,711 setan.
Jumlah mingguan bertambah kepada 229,701 lot daripada 211,993 lot yang direkodkan dalam minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 233,230 kontrak daripada 237,675 kontrak.
Di pasaran fizikal, September Selatan meningkat RM50 kepada RM2,860 setan.- Bernama