
LAWAS: Pasukan Jaopalisz Z muncul juara keseluruhan Pertandingan Gasing Tradisi Seborneo Terbuka 2025 bagi merebut Piala Datuk Henry Sum Agong yang berlangsung di Kampung Batu Dua, di sini, baru-baru ini.
Naib johan disandang oleh Pasukan Jaopalisz, manakala tempat ketiga bersama dimenangi oleh Pasukan Sasa A dan Pasukan Gordon.
Sebagai juara, Pasukan Jaopalisz Z membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan pingat, manakala Pasukan Jaopalisz menerima RM800 beserta pingat. Pasukan Sasa A dan Gordon pula masing-masing membawa pulang RM350 dan pingat.
Pemain Ah Sing daripada Pasukan Jaopalisz Z turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir, dan menerima wang tunai RM100 sebagai penghargaan atas prestasi cemerlangnya.
Hadiah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Batu Dua, Haidan Dollah.
Pertandingan ini dianjurkan secara bersama oleh JKKK Batu Dua, PEGASA Cawangan Batu Dua dan PPWS Cawangan Batu Dua, dan berjaya menarik penyertaan 28 pasukan dari pelbagai daerah termasuk Limbang, Lawas, Sipitang dan Brunei.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Penghulu Tuah Tengah, dan turut dihadiri oleh ketua-ketua masyarakat tempatan serta wakil Persatuan Gasing Tradisi Brunei Darussalam yang hadir memberi sokongan sekali gus memeriahkan acara.
Oleh Adeng Edrus