
KOTA SAMARAHAN: Penganjuran Konvensyen Ke Arah Sokongan Emosi dan Psikologi (STEPS) 2025 merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dalam membina komuniti kampus yang prihatin, berempati dan sejahtera dari segi jasmani, emosi, rohani serta sosial.
Naib Canselor Unimas, Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit, konvensyen tersebut bukan sekadar satu acara tahunan, tetapi sebuah gerakan kesedaran satu ikhtiar kolektif membina komuniti kampus yang lebih prihatin dan sejahtera.
“STEPS 2025 mengangkat tema Hidup Seimbang: Mengurus Kehidupan, Kerjaya dan Kesejahteraan Emosi dalam Dunia yang Pantas Berubah menjadi wadah penting dalam memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap kepentingan kesihatan mental serta daya tahan diri di era serba mencabar,” katanya pada Konvensyen Ke Arah Sokongan Emosi dan Psikologi (STEPS) 2025 yang berlangsung di Arena Gemilang, DeTAR Putra, di sini, hari ini.
Menurutnya, konvensyen yang kini memasuki edisi ketiga itu berjaya menghimpunkan pelbagai pihak termasuk pakar kaunseling, profesional kesihatan mental, pensyarah, pelajar serta agensi luar untuk bersama-sama memperkasa strategi kesejahteraan diri yang berterusan.
“Semua aktiviti ini membuktikan bahawa kesejahteraan bukan hanya tentang bebas tekanan, tetapi tentang membina keseimbangan harmoni antara diri, keluarga dan masyarakat,” ujarnya.
Beliau menegaskan, kesihatan mental tidak seharusnya dilihat sebagai tanda kelemahan, sebaliknya sebagai lambang kekuatan dan kesedaran diri dalam menghadapi tekanan hidup yang semakin kompleks, termasuk isu ekonomi, sosial dan cabaran digital.
“Pendidikan tentang kesihatan mental harus menekankan nilai empati dan tindakan berdaya tahan. Sokongan emosi dan kesejahteraan psikologi bukan hanya tanggungjawab individu, tetapi tanggungjawab bersama seluruh komuniti universiti,” katanya.
“Unimas beriltizam menjadi universiti berpaksikan komuniti (Universiti Pemangkin Komuniti) yang bukan sahaja melahirkan graduan berilmu, tetapi juga insan seimbang, berakhlak mulia dan berjiwa ihsan,” tambah beliau.
Antara pengisian program ialah tiga bengkel selari bertemakan penyembuhan, penyesuaian diri dan keibubapaan, forum interaktif mengenai keseimbangan kerja dan kehidupan, slot inspirasi STEPS Sorotan STEPS @ Pempengaruh serta aktiviti fizikal seperti Zumba 10,000 Langkah 2025.
Oleh Norman B