
SIBU: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sibu terus mengorak langkah memperkukuh semangat kesukarelawanan dan gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti melalui Majlis Peluncuran Pickleball SKUAD Antidadah Sibu yang diadakan di The Kitchen by CCK, Sibu pada Ahad.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengarah Khidmat Pengurusan AADK, Lai Lung Kwang, bersempena dengan sambutan Hari Sukan Negara 2025.
Menurut AADK Daerah Sibu, program berkenaan bukan sahaja bertujuan menyemai semangat kesukanan tetapi turut menjadi platform mempererat hubungan antara ahli SKUAD Antidadah, komuniti setempat, rakan strategik dan rakan pintar.
“Inisiatif ini selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan yang sihat dan aktif, di samping memperkukuh semangat kesukarelawanan dalam kalangan ahli SKUAD,” katanya.
Aktiviti pickleball yang diadakan buat julung kali di peringkat SKUAD Antidadah Sibu itu dilihat sebagai langkah positif untuk menggalakkan penglibatan aktif ahli serta mencungkil bakat baharu dalam sukan tersebut.
Antara pengisian menarik program ialah latihan pickleball, pendaftaran ahli baharu, cabutan bertuah dan sesi Pocket TalkAADK yang mencetuskan suasana ceria serta memperlihatkan semangat kebersamaan dalam kalangan peserta.
SKUAD Antidadah merupakan entiti kesukarelawanan yang diterajui golongan belia, dengan peranan utama menggerakkan program kesedaran dan aktiviti antidadah ke arah pembentukan gaya hidup sihat.
Selesai pelancaran, Lai Lung Kwang turut berkesempatan menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada ahli yang bertuah.
Penganjuran program itu turut mendapat sokongan daripada beberapa pihak termasuk Rizqi Shop Enterprise, Sri Wajah Enterprise, CBC Motor Company (Car Rental Service), Mefa Fit Sport Event Management serta Awan Nano Pickleball Club.
Turut hadir Pengarah AADK Negeri Sarawak, Abdul Hamediee Ibrahim; Pengerusi SKUAD Antidadah Sibu, Raden Khairulzaman Raden Bustari; Timbalan Pengerusi, Mohamad Mostapha Lasot; serta wakil-wakil AADK Daerah Sibu dan ahli SKUAD Antidadah Sibu.
Oleh Tarani Lanting