Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Pelakon pemenang Oscar, Diane Keaton meninggal dunia pada usia 79 tahun
  • HIBURAN

Pelakon pemenang Oscar, Diane Keaton meninggal dunia pada usia 79 tahun

Utusan Sarawak 2 days ago
GAMBAR fail pelakon Diane Keaton tiba pada Majlis Tahunan ke-17 Women in Hollywood Tribute bagi meraikan bakat terbaik Hollywood dalam satu majlis makan malam eksklusif sempena penghargaan terhadap pencapaian wanita dalam industri perfileman di Los Angeles, California, pada 18 Oktober 2010. Foto AFP

LOS ANGELES: Pelakon terkenal, Diane Keaton yang meraih Anugerah Oscar menerusi lakonannya dalam Annie Hall (1977) serta dikenali menerusi peranannya dalam siri filem The Godfather telah meninggal dunia pada usia 79 tahun.

Maklumat lanjut mengenai pemergiannya masih belum diperoleh, dan keluarga Keaton memohon privasi, menurut jurucakap keluarga seperti dilaporkan majalah People.

Keaton disahkan meninggal dunia pada Sabtu di California. Keaton kerap bekerjasama dengan pengarah Woody Allen, antaranya menerusi Annie Hall, yang mana beliau memegang watak utama sebagai kekasih kepada watak Alvy Singer lakonan Allen.

Filem tersebut memenangi Oscar untuk Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Asal Terbaik, sekali gus mengukuhkan kedudukan Keaton sebagai salah seorang pelakon terbaik industri serta ikon fesyen yang unik.

Beliau membintangi lapan filem arahan Allen, bermula dengan Play It Again, Sam (1972) hingga Manhattan (1979) dan Manhattan Murder Mystery (1993).

Dalam siri The Godfather, Keaton melakonkan watak Kay Adams, kekasih dan kemudian isteri kepada Michael Corleone lakonan Al Pacino.

GAMBAR fail Pelakon Amerika Syarikat, Diane Keaton, memberikan isyarat bagus ketika tiba pada Majlis Makan Tengah Hari Calon Anugerah Oscar pada 9 Februari 2004 di Beverly Hills, California. Foto AFP

Selain karya bersama Allen, peminat turut mengingati lakonannya sebagai isteri Steve Martin dalam filem komedi Father of the Bride (1991), mengisahkan pasangan yang gusar dan penyayang merancang perkahwinan mewah anak perempuan mereka.

Menjelang akhir kerjayanya, Keaton membintangi dua filem berunsur komedi romantik yang menampilkan watak wanita berusia: Book Club (2018), dengan mesej bahawa cinta tidak mengenal usia, dan Poms (2019), kisah wanita pesakit kronik yang berpindah ke komuniti pesara untuk menghabiskan sisa hidupnya, tetapi akhirnya menubuhkan pasukan sorak.

Pemenang Anugerah BAFTA dan Golden Globe, Keaton turut menerima tiga pencalonan Oscar tambahan bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Reds, Marvin’s Room dan Something’s Gotta Give.

Ikon Yang Berbeza

Akademi Seni Perfileman dan Sains (AMPAS), penganjur Anugerah Oscar, dalam satu kenyataan penghormatan menyifatkan Keaton sebagai pelakon yang bukan sekadar melakonkan emosi, tetapi “hidup dalam emosi itu.”

Pada 2017, Keaton dianugerahkan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat oleh American Film Institute (AFI), yang menggambarkannya sebagai “tidak konvensional, ikonoklastik dan luar dari kebiasaan.”

“Saya rasa sangat bertuah kerana pernah meluangkan masa dengan wanita luar biasa ini. Kehilangannya amat memilukan,” kata pelakon Andie MacDowell, yang pernah berlakon dalam Unstrung Hero (1995), salah satu daripada beberapa filem arahan Keaton.

Bette Midler, rakan gandingannya dalam filem The First Wives Club (1996), menulis di Instagram:
“Dia sangat melucukan, benar-benar asli, dan langsung tidak berpura-pura, tiada langsung sikap bersaing seperti yang biasa ada dalam kalangan bintang besar. Apa yang anda lihat, itulah dirinya… oh, la, lala!”

Goldie Hawn, yang turut berlakon dalam filem sama, menambah bahawa Keaton “meninggalkan kita dengan jejak debu ajaib, penuh cahaya dan kenangan yang tidak akan dilupakan.”

Senyuman Dan Sikap Rendah Diri

Ketika skandal gangguan seksual mula menggoncang industri Hollywood pada penghujung 2017 bermula dengan pendedahan terhadap penerbit Harvey Weinstein hingga ke nama-nama besar seperti Kevin Spacey, dakwaan lama terhadap Woody Allen mengenai penderaan seksual terhadap anak angkatnya, Dylan Farrow, kembali mencetuskan kontroversi.

Namun Keaton tetap menyatakan sokongannya.

“Woody Allen ialah kawan saya dan saya tetap mempercayainya,” tulisnya di Twitter pada Januari 2018. Ia merupakan satu-satunya detik kontroversi dalam kerjaya Keaton yang dihormati ramai.

Dalam temu bual bersama AFP pada 2019, Keaton berkata beliau tidak pernah mengalami gangguan seksual sepanjang hampir lima dekad dalam industri: “Tidak pernah. Mungkin saya bukan jenis ‘sasaran gangguan’.”

Senyuman cerianya terus menyinari layar perak selama bertahun-tahun, di samping gaya fesyen eksentrik yang mempopularkan pemakaian topi besar dan elemen pakaian lelaki, gaya yang mula diperkenalkan melalui Annie Hall dan menjadi simbol kebebasan serta keaslian.

Mengenai penuaan, Keaton dalam temu bual sama berkata hidup menjadi lebih mudah seiring usia: “Saya rasa begitu. Apa lagi yang nak dirisaukan? Inilah kebenaran. Kita hadapi dan bicarakan.”

Kehidupan Peribadi

Dilahirkan sebagai Diane Hall di Los Angeles pada 5 Januari 1946, beliau menukar nama pentasnya kepada “Keaton” untuk mengelak kekeliruan dengan pelakon lain.

Keaton pernah menjalinkan hubungan romantik dengan Woody Allen, Al Pacino, dan Warren Beatty, namun tidak pernah berkahwin.

“Kebanyakan orang dalam industri filem berkahwin dan kemudian bercerai. Saya pula langsung tak pernah kahwin. Saya ini satu kegagalan,” katanya secara berseloroh.

Adakah beliau menyesal?
“Saya tak fikirkan sangat. Tapi saya sedar saya agak luar biasa dalam hal ini. Mungkin saya terlepas sesuatu — tapi, tiada siapa boleh miliki segalanya, kan?”

Beliau meninggalkan dua anak angkat, Dexter dan Duke. – AFP

Tags: Hiburan

Continue Reading

Previous: Konsert Rakyat 2025: Komitmen Sarawak perkukuh seni, budaya
Next: Eksklusif: “Saya mahu dunia tahu keindahan muzik Iban,” – Mawat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.