
KABONG: Suasana di Kampung Hulu Laut, Kabong gempar apabila penduduk menemui mayat seorang wanita di bawah laluan pejalan kaki lorong kampung tersebut, pagi tadi.
Mangsa dikenali sebagai Iza Akma Mostapha, 39, dari Kampung Hilir, Kabong, ditemui tidak bernyawa sekitar 11.10 pagi oleh seorang penduduk, yang kemudian segera memaklumkan kepada pihak polis di Balai Polis Kabong.
Menurut Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata siasatan awal oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok mendapati tiada unsur jenayah di lokasi kejadian, dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

“Siasatan mendapati mangsa keluar dari rumah pada malam sebelumnya sekitar 7.00 malam, semalam.
“Menurut keluarganya, mangsa menghidap penyakit sawan dan sering keluar berseorangan,” jelas beliau ketika dihubungi Utusan Sarawak, hari ini.
Tambah Mathew, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Saratok untuk proses pengecaman oleh waris dan siasatan lanjut.
Oleh Adi Safarman