
LIMBANG: Padang bola sepak di Kampung Lubuk Piasau dan Lubuk Sigantang akan dinaik taraf menjadi padang bertaraf piawai bagi kegunaan sebagai lokasi utama penganjuran sukan di peringkat daerah, bahagian dan negeri.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata kedua-dua padang di kampung itu amat sesuai berdasarkan keluasannya untuk dijadikan salah satu lokasi utama kejohanan sukan di Limbang.
Beliau berkata, Daerah Limbang memerlukan kemudahan padang bola sepak yang bertaraf piawai bagi membolehkan penganjuran kejohanan bola sepak, selaras dengan hasrat kerajaan untuk memajukan sukan di negeri ini.
“Bagi jangka masa yang panjang, kita masukkan padang bola sepak di Kampung Lubuk Piasau dan Lubuk Sigantang untuk dinaik taraf sebagai padang yang sesuai untuk kejohanan peringkat daerah, bahagian mahupun peringkat negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media semasa mengadakan lawatan kerja ke Tapak Pesta Badudun dan Lumba Kerbau 2025 di Kampung Lubuk Piasau hari ini.
Jelasnya, dengan menaik taraf padang bola sepak di kampung tersebut, Limbang bakal mempunyai lima buah padang bola sepak bertaraf piawai apabila kerja penaiktarafan itu siap kelak.
Kemudahan tersebut melibatkan Padang Bola Sepak Taman Desa Pabahanan, Padang Majlis Daerah Limbang, Padang Kompleks Sukan Limbang, serta padang bola sepak di Kampung Lubuk Piasau dan Kampung Lubuk Sigantang.
Sejumlah RM250,000 diperuntukkan di bawah Program Tranformasi Luar Bandar (RTP) untuk menaiktaraf prasarana sukan di Kampung Lubuk Piasau yang menjadi lokasi utama penganjuran Pesta Badudun dan Lumba Kerbau 2025, 26 Oktober ini.
Peruntukan itu digunakan untuk menaik taraf gelanggang pentaque, gasing, futsal dan padang bola sepak yang akan digunakan dalam penganjuran pesta tersebut kelak.
Turut hadir Pengerusi Persatuan Melayu Limbang, Mohamad Abu Bakar.
Oleh Adeng Edrus